HONG KONG – Sekurang-kurangnya 13 orang terbunuh selepas menara tinggi sebuah kompleks kediaman di daerah Tai Po, utara Hong Kong terbakar, dengan asap tebal menyelubungi ruang udara ketika pasukan bomba berusaha memadamkan api, lapor akhbar The Guardian hari ini.
Polis berkata, sebilangan penghuni masih terperangkap di dalam menara yang terbakar, manakala dua mangsa kritikal kerana melecur teruk.
Beberapa anggota bomba turut cedera ketika berusaha memadamkan api yang marak melalui menara setinggi 31 tingkat itu.
Orang ramai berkumpul di laluan pejalan kaki berdekatan. Mereka melihat asap berkepul-kepul keluar dari bangunan, sebahagiannya dikelilingi perancah buluh.
“Berpuluh-puluh jentera bomba dan ambulans memenuhi lokasi kejadian,” kata seorang saksi.
Menurut jabatan bomba, anggota-anggotanya tidak pasti berapa ramai penghuni yang terperangkap.
Rakaman video dari tempat kejadian menunjukkan anggota-anggota bomba menyembur air ke arah api yang marak dari ketinggian tangga trak.
“Tiada apa-apa yang boleh dilakukan. Kami hanya boleh berharap semua orang, tidak kira tua atau muda, dapat keluar dengan selamat,” kata seorang penduduk Tai Po yang hanya dikenali sebagai So kepada Agence France-Presse(AFP).
“Kami bimbang ada orang terperangkap di dalam bangunan,” tambahnya.
Api tidak menunjukkan tanda-tanda akan reda selepas senja dan nyalaan api di dalam blok menara memancarkan cahaya jingga yang menyeramkan pada bangunan di sekeliling.
Pihak berkuasa mengisytiharkan amaran kebakaran di peringkat lima iaitu tahap tertinggi, ketika malam menjelma.
Jabatan bomba berkata, 13 orang meninggal dunia, termasuk sembilan di tempat kejadian dan empat yang lain dibawa ke hospital.
Seramai 15 orang lain cedera, termasuk dua mangsa parah kata jabatan itu kira-kira puku 8.15 malam (waktu tempatan).
Seorang pemilik unit kediaman berusia 40-an memberitahu AFP bahawa kerajaan perlu membantu mereka yang kehilangan tempat tinggal akibat kebakaran itu.
“Api masih belum dapat dikawal dan saya tidak tahu apa yang boleh saya lakukan,” katanya. – AGENSI















