KANGAR – Jumlah mangsa banjir di Perlis terus meningkat kepada 6,370 orang daripada 1,883 keluarga yang berlindung di 21 pusat pemindahan sementara (PPS) sehingga pukul 2 petang ini.
Menurut Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Perlis, kesemua tiga kawasan di negeri ini terjejas iaitu Kangar melibatkan 3,553 mangsa diikuti Arau 1,606 orang dan Padang Besar 1,211 orang.
“Cuaca ketika ini hujan rintik dengan trend air sungai meningkat,” katanya.
Sementara itu, Angkatan Pertahanan Awam Perlis membantu memindahkan kira-kira 180 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan 20 pengawas peperiksaan dari Sekolah Menengah Kebangsaan Perlis yang dinaiki air ke tempat selamat menggunakan trak dan pikap setelah selesai menduduki peperiksaan hari ini. – KOSMO! ONLINE














