SEBERANG PERAI – Seramai 16 lelaki etnik Rohingya termasuk jurubahasa mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam di sini, hari ini atas pertuduhan menjadi anggota Pertubuhan Islam Untuk Kemajuan Rohingya Malaysia, yang merupakan sebuah pertubuhan haram.
Tertuduh ialah Muhammad Islam Sultan Ahmad, 56, yang merupakan jurubahasa, Mohd. Islam Mir Ahmad, 54, Hamid Huson Ismail, 45, Nurul Amin Abdul Munaf, 45, Enamul Haque Mohammed Hussein, 43, Abdul Hamid Ahmad Husaim, 29, Mohamad Nur Mustak Ahmad, 32, Abdul Kudus Daul Rahman, 42, dan Sayed Amin Ruhul Amin, 36.
Mereka membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan dalam Bahasa Melayu di hadapan Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit.
Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa telah memegang jawatan ahli jawatankuasa Pertubuhan Islam Untuk Kemajuan Rohingya Malaysia yang merupakan pertubuhan menyalahi undang-undang di Lorong Tingkat Ciku 5, Taman Ciku, di sini, kira-kira pukul 3 petang, 19 November lalu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Anis Suhada Rosli manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Y. Anbananthan.
Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman denda RM5,000 bagi setiap tertuduh dan enam bulan penjara jika gagal bayar serta mengingatkan kesemua mereka yang tinggal di negara ini untuk mematuhi undang-undang ditetapkan.
Dalam prosiding berasingan, tujuh lagi tertuduh iaitu Jaafar Ahmed Mohammad Shafi, 55, Mubarak Husain Mohammad Islam, 40, Hamid Khan Kalamiah, 41, Mohamad Yunus Ismail Shorif, 34, Abu Siddiq Mohammad Husson,41, Nur Hussain Abu Shama, 43, Syed Hussain Oli Ahmed, 51, mengaku bersalah selepas pertuduhan sama dibacakan di hadapan Majistret Roshayati Radellah serta dijatuhi hukuman denda RM2,000 atau dua tahun penjara jika gagal bayar.
Kosmo! difahamkan, kesemua tertuduh membayar denda yang dikenakan sejurus selesai prosiding tengah hari tadi. – KOSMO! ONLINE














