fbpx
Gambar hiasan

Sukar ambil tindakan pemilik sawah sewa tapak kepada warga asing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memaklumkan terdapat kesukaran untuk mengenakan tindakan terhadap pemilik tanah yang menyewakan tapak sawah kepada warga asing.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, perkara itu kerana proses sewaan kepada warga asing tidak didokumentasikan secara rasmi oleh pemilik tanah.

“Berhubung isu kebanjiran warga asing, Kementerian tidak menafikan bahawa terdapat warga asing yang diupah oleh pemilik tanah bagi melaksanakan kerja-kerja seperti menabur benih, membaja, meracun, menuai, melakukan semaian padi serta mengusahakan tanaman kontan di kawasan sawah.
“Walau bagaimanapun, secara umumya, isu tanah adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri. Kebanjiran warga asing dalam isu ini memerlukan penyelesaian tadbir urus yang teliti dan melibatkan kerjasama rentas kementerian,” katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Kapten Datuk Dr. Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang) mengenai isu kebanjiran warga asing yang yang menyewa dan mengusahakan sendiri sawah padi atau tanaman kontan di beberapa lokasi terutama di Tanjong Karang.

Sementara itu, menjawab persoalan mengenai isu kemerosotan hasil padi khususnya di Selangor tahun lalu berbanding tahun-tahun sebelumnya, Mohamad berkata, terdapat beberapa faktor yang menjadi punca termasuk serangan perosak.

“Purata hasil padi bagi negeri Selangor adalah sebanyak 4.185 tan metrik per hektar pada tahun 2024, merosot sebanyak 8.56 peratus berbanding 4.577 tan metrik per hektar pada tahun 2023.

“Tanjong Karang merupakan  antara kawasan yang turut terlibat dalam penyusutan hasil ini. Justeru itu, KPKM telah melaksanakan beberapa langkah strategik melibatkan pembangunan infrastruktur serta pengukuhan sokongan kepada pesawah bagi menangani isu penyusutan hasil padi,” katanya.

Katanya, antara usaha utama ialah memperkasa aktiviti pengembangan di lapangan bagi memastikan teknologi terbaharu, amalan terbaik dan maklumat penting dapat disalurkan secara berkesan kepada pesawah serta komuniti pertanian.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI