PETALING JAYA – Manifesto parti-parti bertanding pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) Sabah tidak akan memberi impak besar kepada keputusan pengundi kali ini sebaliknya ketokohan calon bertanding yang diambil kira.
Penganalisis politik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd. Muis berkata, tinjauannya di lapangan mendapati pengundi Sabah lebih menilai calon yang bertanding berbanding janji manifesto.
Katanya, kecenderungan tersebut susulan semua gabungan utama yang bertanding dalam PRN di Sabah kali ini pernah menjadi kerajaan.
“Saya lihat manifesto masih jauh daripada memberi kesan. Tidak cukup kuat untuk mempengaruhi keputusan pengundi kerana faktor calon jadi pemberat utama.
“Pengundi pernah melihat semua yang bertanding pernah menjadi kerajaan. Jadi saya lihat manifesto tidak dipedulikan sangat,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Mujibu berkata, persaingan di Sabah turut dipengaruhi persoalan mengenai siapakah poster boy yang bakal ditampilkan sebagai calon Ketua Menteri.
Malah, menurut beliau, keyakinan banyak disandarkan kepada ketokohan individu menyebabkan manifesto tidak diberi perhatian besar oleh pengundi.
Terdahulu, beliau berkata, suasana kempen PRN17 Sabah dilihat lebih ‘sejuk” berbanding pilihan raya sebelum ini tanpa isu besar mendominasi pentas politik.
Ujarnya, situasi tersebut kerana kebanyakan pengundi sudah mempunyai pilihan masing-masing dan hanya menunggu hari pengundian.
Sentimen pengundi pula berbeza mengikut kawasan dan demografi dengan dua sentimen utama mencorakkan kecenderungan pengundi.
“Sebahagian pengundi melihat parti tempatan sebagai pembawa agenda pembangunan, manakala bagi kelompok lain, persaingan lebih tertumpu antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan Sabah (Warisan)
“Walaupun Barisan Nasional (BN) tetap memberi saingan, naratif pembangunan yang dibawa GRS sebagai parti pemerintah masih memberi kelebihan kepada mereka,” katanya.
Tambahnya, Warisan pula dilihat lebih tersusun sebagai blok pembangkang tunggal yang bergerak solo jadikan naratif parti itu lebih jelas dan solid kepada pengundi tertentu.
“Penerimaan terhadap dua naratif besar ini bagaimanapun berbeza mengikut segmen pengundi dan kawasan.
“Sentimen PRN di Sabah kali ini tidak bersifat menyeluruh atau blanket, sebaliknya bergantung pada konteks lokal di lapangan,” katanya.















