PETALING JAYA – Hubungan ekonomi antara Malaysia dan Kenya berada pada landasan kukuh untuk berkembang ke tahap lebih strategik susulan sesi libat urus bersama para pelabur dan penggiat industri negara itu di Nairobi, semalam.
Dalam hantaran di Facebook, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pertemuan tersebut membuka ruang lebih luas dalam meneroka potensi sebenar kerjasama dua hala, khususnya dalam sektor semikonduktor, pendidikan, teknologi, pertanian moden, infrastruktur, industri halal, automotif dan tenaga boleh diperbaharui.
Menurut beliau, kedua-dua pihak turut sependapat bahawa masa depan kerjasama perlu digerakkan ke arah tenaga hijau dan teknologi bersih, menjadikan hubungan Malaysia–Kenya bukan sekadar dagangan tetapi juga perkongsian yang mendukung pertumbuhan mampan.
“Ruang integrasi industri terutamanya dalam rantauan nilai digital dan mobiliti masa depan semakin jelas dan perlu diterokai secara agresif,” katanya.
Anwar menambah, Malaysia melihat Kenya sebagai pintu strategik ke pasaran Afrika Timur, manakala Malaysia pula menawarkan pengalaman, kemahiran, modal insan serta ekosistem industri yang kukuh untuk dimanfaatkan bersama.
“Dengan kejelasan dasar dan iltizam bersama, saya optimis hubungan ekonomi Malaysia-Kenya akan memasuki fasa baharu yang lebih strategik, lebih berdampak dan yang berpaksikan keyakinan dan integriti,” katanya. – KOSMO! ONLINE














