fbpx
Ahli keluarga menangis kesyukuran selepas mangsa bot terbalik pada jarak 1.5 batu nautika barat daya Pulau Ketam, Klang ditemui selamat.

Bot terbalik: Lima pemancing terselamat berenang ke sangkar ikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KLANG – Lima pemancing yang hilang selepas bot dinaiki terbalik ekoran cuaca buruk ditemui dalam keadaan selamat di sebuah sangkar ikan berhampiran Pulau Ketam, di sini semalam.

Kesemua mangsa lelaki termasuk seorang warga Indonesia berusia 23 hingga 57 tahun dijumpai kira-kira pukul 4.47 petang.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, pihaknya menerima laporan awal daripada ahli keluarga mangsa yang memaklumkan bot dan lima pemancing tersebut gagal dihubungi.
“Komuniti maritim kemudian melaporkan penemuan sebuah bot fiber terbalik dipercayai dinaiki kesemua mangsa pada jarak 1.5 batu nautika barat daya Pulau Ketam pada pukul 12.50 tengah hari,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan itu, dua aset Maritim Malaysia digerakkan ke lokasi bagi melakukan pencarian awal selain menubuhkan Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) di jeti nelayan Kampung Telok Nipah, Pelabuhan Klang.

Abdul Muhaimin berkata, pihaknya menerima maklumat daripada seorang individu pada pukul 4.47 petang mengenai penemuan kesemua mangsa di sebuah sangkar ikan di perairan Pulau Ketam.

Mereka kemudian diselamatkan menggunakan bot Penggalang 31 sebelum tiba di PHC pada pukul 5.50 petang. Dua daripada mangsa cedera di kaki akibat disengat ikan.

“Siasatan mendapati mangsa berenang ke sangkar ikan untuk menyelamatkan diri selepas bot mereka terbalik ekoran cuaca buruk.

“Mereka dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah untuk tindakan lanjut. Operasi pencarian ditamatkan pada pukul 6.30 petang,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN