CHANGLUN – Seorang lelaki maut selepas kereta yang dia pandu terbabas ke dalam parit di Taman Jelutong di sini awal pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu, mangsa, Muhammad Faiz Zainal, 36, maut di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd. Radzi Abdul Rahim berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 3.07 pagi.
“Sebaik tiba di lokasi, kita mendapati terdapat sebuah kereta jenis Nissan Almera tenggelam di dalam parit dengan air mengalir deras.
“Pihak bomba dan ambulans juga telah sampai di tempat kejadian,” katanya di sini hari ini.
Kata beliau, mangsa ditemui masih di dalam kereta tersebut sebelum disahkan telah meninggal dunia.
“Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Jitra untuk bedah siasat,” ujarnya.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE















