PETALING JAYA – Sedang dibadai kemelut rumah tangga, rezeki aktor Kamal Adli bagaimanapun terus melimpah-ruah apabila dihujani pelbagai tawaran baharu.
Menerusi hantaran dalam Instagram, Kamal atau nama sebenarnya Ahmad Kamal Ahmad Adli, 40, berkongsi perkembangan terbaharu kerjayanya apabila dipilih sebagai wajah promosi jenama makanan terkenal, Pak Mat Western.
“Juruwang baru Pak Mat Western,” tulisnya ringkas.
Perkongsian tersebut disambut hangat peminat yang menyifatkan pelakon drama Dia Imamku itu semakin kuat mendaki semula laluan kerjaya selepas diuji konflik rumah tangga.
Ruangan komen dibanjiri doa, kata semangat serta harapan agar Kamal terus teguh berdiri.
“Jalan terus, Kamal. Semoga 2026 beri 1001 kebahagiaan. Rezeki tanpa disangka mengalir macam air. Tetap kuat! amin,” kata seorang netizen.
“Semoga rezeki Kamal mengalir tanpa henti, makin terbuka luas pintu-pintunya,” ujar seorang pengikut
“Aku nampak aura Fattah Amin, Kamal ni biasa saja sebelum ni, tapi aku kagum dengan usaha dia nak selamatkan rumah tangga. Semoga berjaya, Kamal Adli,” tulis satu akaun lain.
Sebelum ini, syarikat terbabit sememangnya sinonim mengambil personaliti popular yang bakal bercerai mempromosikan produk mereka.
Malah, jenama terkenal itu bijak mencuri peluang menggunakan selebriti terbabit ketika nama mereka sedang ‘panas’.
Antara individu berpengaruh yang pernah muncul dalam video promosi jenama terbabit adalah Tun Dr Mahathir, Tyzo, Khairy Jamaluddin (KJ), Syukri Yahaya dan Sharnaaz Ahmad dan Fattah Amin.
Terdahulu, rumah tangga Kamal bergoncang selepas isterinya, Uqasha Senrose memfailkan permohonan cerai pada 1 Oktober lalu atas alasan tiada persefahaman.
Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 4 November 2021 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan berusia 19 bulan. – KOSMO! ONLINE














