KOTA KINABALU – Naik taraf infrastruktur asas seperti jalan raya, bekalan air bersih dan inisiatif mesra warga emas antara harapan rakyat sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Ramai berpendapat PRN bukan sahaja medan memilih wakil rakyat mahu pun pemimpin utama yang bakal menerajui negeri tetapi haruslah seiring dengan kewajipan pemimpin kepada rakyat.
Penduduk di Beaufort, Nasari Gani, 38, menyatakan naik taraf jalan-jalan utama dan kampung mesti dilakukan secepat mungkin kerana ia keperluan utama rakyat yang menggunakannya saban hari.
“Siapkan Lebuh Raya Pan Borneo Sabah dengan kadar segera berikutan projek itu sudah lama tertangguh. Rakyat ketika ini sepatutnya sudah mampu menikmati projek mega itu namun disebabkan pelbagai faktor ia lambat disiapkan.
“Bukan sahaja jalan utama atau kawasan bandar. Perhatian juga perlu diberikan kepada jalan-jalan luar bandar dan pedalaman di negeri ini.
“Jika dikaji, masih terlalu banyak kampung-kampung di pinggir bandar belum mendapat akses jalan raya sewajarnya walaupun kerajaan dan pemimpin bersilih ganti,” katanya.
Dia berharap pemimpin yang bakal menerajui kepimpinan negeri nanti boleh mendengar denyut nadi rakyat sehingga ke peringkat akar umbi.
Peniaga makanan, Hamidah Ontong, 38, menyifatkan isu air yang tidak berpenghujung di Sabah juga antara masalah yang patut menjadi keutamaan apabila kerajaan baharu terbentuk.
Menurutnya, dia yang menetap di Kampung Klias Baru, Beaufort merupakan salah seorang daripada ribuan penduduk yang terkesan isu itu.
“Saya berniaga kuih dan biskut. Oleh itu, penting untuk saya mendapatkan bekalan air bersih. Adakalanya air paip terputus berhari-hari sehingga terpaksa menutup perniagaan buat sementara waktu.
“Isu sama bukan sahaja menjejaskan perniagaan tetapi aktiviti harian lain seperti memasak dan membasuh pakaian. Saya berharap kerajaan negeri yang akan dibentuk kelak melihat isu air di Sabah ini sebagai perkara utama,” ujarnya kesal.
Dalam pada itu, Haisah Sarudin, 77, mahu lebih banyak inisiatif khas buat warga emas di Sabah menjadi perhatian.
“Bantuan kebajikan seperti kewangan dan kesihatan agar lebih menjamin kesejahteraan golongan berkeperluan sepertinya. Warga emas sering menghadapi kesukaran untuk mendapatkan akses kepada penjagaan kesihatan yang berkualiti terutamanya di kawasan luar bandar.
“Isu ini termasuk kos rawatan, pengangkutan ke fasiliti kesihatan dan kekurangan tenaga kerja perubatan terlatih. Selain itu, ramai warga emas turut menghadapi masalah kewangan kerana pencen yang tidak mencukupi selain ramai yang masih perlu bekerja untuk menyara hidup mereka.
“Oleh itu, penting untuk kerajaan negeri memberi keutamaan berkaitan kesihatan mahupun bantuan kewangan buat warga emas di Sabah,” ujarnya.














