KUALA PILAH – Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun maut selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan dua buah kereta di Kilometer 3 Jalan Kuala Pilah–Melang, berhampiran sebuah stesen minyak, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Muhamad Mustafah Hussin berkata, kemalangan kira-kira pukul 3.55 petang itu membabitkan dua buah Perodua Bezza masing-masing dipandu lelaki berusia 34 dan 25 tahun.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kereta dipandu lelaki berusia 25 tahun itu dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan.
“Tindakan itu menyebabkan pemandu berusia 34 tahun yang turut membawa isteri, anak perempuan berusia tiga tahun dan anak saudara berusia 16 tahun dalam perjalanan dari Kuala Pilah ke Seremban gagal mengelak dan melanggar kenderaan tersebut,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, impak pelanggaran mengakibatkan kanak-kanak perempuan berkenaan yang duduk di bahagian belakang mengalami kecederaan parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN).
“Pemandu lelaki bersama isterinya berusia 28 tahun, dan anak perempuan mereka serta pemandu berusia 25 tahun turut cedera dan masih menerima rawatan di hospital sama,” katanya yang memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE















