fbpx
Keadaan rumah penduduk yang terjejas banjir di Taman Koperasi Perumahan Rakyat Kelantan, Kampung Budi dekat Bachok hari ini. Foto oleh ROHANA MOHD. NAWI / KOSMO!

43 mangsa terjejas banjir di Bachok berlindung di PPS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BACHOK – Sekolah Kebangsaan Pauh Sembilan, di sini menjadi pusat pemindahan sementara (PPS) pertama dibuka di Kelantan pada musim tengkujuh tahun ini bagi menempatkan seramai 43 mangsa daripada 12 keluarga.

PPS itu mula dibuka pada pukul 11.23 malam tadi, selepas rumah mangsa di Taman Koperasi Perumahan Rakyat Kelantan, Kampung Budi di sini dinaiki air susulan hujan berterusan selama dua hari bermula kelmarin.

Pengerusi Pengurusan Bencana Jajahan Bachok, Mohd. Zaki Yusoff berkata, operasi pemindahan mangsa banjir ke PPS yang bermula malam tadi berjalan lancar.
Menurutnya, dijangka akan ada lagi mangsa dari Kampung Budi dipindahkan ke PPS selepas kediaman mereka dinaiki air pada paras 0.5 meter.

“Sebanyak 22 PPS di daerah Bachok disediakan untuk menempatkan mangsa banjir. Kita berharap operasi pemindahan berjalan lancar kerana sebelum ini kita sudah melakukan simulasi membantu mangsa banjir.

“Bagi hari pertama pemindahan, penempatan mangsa dikategorikan sebagai tempoh bertenang,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat PPS di Sekolah Kebangsaan Pauh Sembilan di sini hari ini.

Mohd. Zaki yang juga Ketua Jajahan Bachok memberitahu, pihaknya menyediakan program pemulihan emosi dan sokongan psikososial oleh kaunselor Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sekiranya mangsa berada di PPS dalam tempoh yang lama. Operasi pemindahan mangsa banjir melibatkan pelbagai agensi termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, dan Angkatan Tentera Malaysia dan JKM. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN