fbpx
Mahmud Abbas (tengah) bersama Ketua Pegawai Eksekutif (Designate) SA Sentral, Datuk Mohd. Najib Ibrahim (kanan) dan Naib Presiden Pembangunan, Indonesia Malaysia, Accor Rio Kondo melihat replika Hotel Grand Mercure pada sesi pratonton di Galeria SA Sentral. Foto: Saddam Yusoff

Grand Mercure tarikan baharu di SA Sentral

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM- Shah Alam (SA) Sentral bakal beroleh tarikan baharu apabila sebuah hotel terkemuka, Grand Mercure akan dibina di bangunan Plaza Perangsang.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Datuk Mahmud Abbas berkata, pemilihan pembinaan Grand Mercure di plaza tersebut adalah berdasarkan kedudukan strategiknya di tengah-tengah bandaraya Shah Alam.

“Kami ada melihat beberapa rangkaian hotel untuk dipilih. Namun melihat kepada reputasi Grand Mercure yang baik dalam industri perhotelan, PKNS ambil keputusan untuk bekerjasama dengan syarikat itu.

“Selain reputasi, hotel tersebut mempunyai sistem tempahan bilik antara yang terbaik di dunia. Justeru, kami melihat Grand Mercure adalah pilihan tepat untuk dibina di Plaza Perangsang,” katanya pada majlis Grand Mercure Shah Alam Sneak Preview By PKNS di Galeri SA Sentral, di sini baru-baru ini.

Hotel tersebut akan dibina dari tingkat 18 hingga tingkat 26 plaza berkenaan dan mempunyai 156 bilik secara keseluruhan.

Menurut Mahmud, kerja pembinaan telah dimulakan sejak dua bulan lalu melibatkan pembangunan tapak hotel.

“Grand Mercure Shah Alam disasarkan beroperasi sepenuhnya pada penghujung tahun 2026. Kami menyasarkan kira-kira 90 bilik akan boleh diinap sebelum Sukma (Sukan Malaysia) Selangor pada Ogos tahun hadapan.

“Ini membolehkan mereka yang ingin menonton temasya itu boleh menginap di hotel berkenaan,” katanya.

Mahmud enggan mendedahkan kos pembinaan hotel berkenaan, namun menjelaskan bahawa ia adalah lebih rendah kerana dibina dalam bangunan sedia ada.

Ujarnya, konsep ‘moden heritage’ dipilih sebagai konsep interior serta bilik penginapan kerana mahu membawa suasana kampung di dalam hotel. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI