MANCHESTER – Sokongan terbuka yang diberikan oleh pemilik kelab, Jim Ratcliffe menjadi detik penting buat Manchester United untuk tampil lebih baik pada baki saingan musim ini.
Pengurus pasukan, Ruben Amorim anggap keyakinan yang dizahirkan oleh Ratcliffe mampu mengurangkan tekanan dan menjadikan fikiran seluruh pasukan lebih tenang untuk memburu keputusan lebih positif.
“Ia cukup penting, tetapi keutamaan buat penyokong adalah untuk memahami yang kami akan lakukan segala-galanya bagi meneruskan apa yang kami sedang lakukan. Bagi saya, secara jujurnya saya boleh berterus-terang yang saya tidak risau hilang jawatan.
“Adalah bagus untuk mendengar apa yang dikatakan (oleh Ratcliffe), tetapi ia tidak mengubah apa yang sedang saya lakukan dan saya pun jelas mengenai perjalanan pasukan.
“Apabila Jim mengeluarkan kenyataan itu, satu-satu perkara yang berubah adalah tidak ada lagi ‘bunyi bising’ di sekeliling kelab. Kata-katanya memberi impak besar buat pasukan,” katanya.
Sebelum ini, Ratcliffe menjelaskan kelab itu tidak akan buat keputusan terburu-buru dan memberikan tempoh tiga tahun untuk Amorim membuktikan kualitinya di Old Trafford.
Kenyataan itu sekali gus memadam spekulasi hangat mengenai masa depan pengurus dari Portugal itu yang dilapor bakal dipecat ekoran prestasi kurang baik pada awal musim.
The Red Devils yang akan turun menentang Everton, Selasa ini dan dilihat sudah kembali menemui sentuhan apabila berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah dan mampu menjaringkan 12 gol dalam lima perlawanan terakhir. – AGENSI















