PETALING JAYA – Percutian impian sebuah keluarga Malaysia di Switzerland bertukar detik mencemaskan apabila seorang kanak-kanak pengsan selepas tercampak dari ‘snowtube’ dan terhentak di atas lantai salji keras di kawasan pelancongan popular Jungfrau, baru-baru ini.
Menerusi perkongsian di Facebook, ibu mangsa, Syira Charms menceritakan kejadian pada 7 Jun lalu ketika mereka sekeluarga teruja menuju ke Jungfrau, Top of Europe untuk menikmati salji serta aktiviti ‘snowtubing’ yang paling dinanti anak-anak.
Menurutnya, anak-anak begitu gembira seawal pukul 6.30 pagi sebelum mereka tiba di lokasi tersebut sekitar pukul 1 tengah hari menggunakan ‘Swiss Pass’.
“Setibanya di kawasan snowtube, salji renyai turun seolah-olah menyambut kedatangan kami. Tiada pekerja di bahagian bawah slide, hanya di kaunter tiket dan pembahagian tube. Tiada arahan jelas, jadi kami turun sekali seramai lima orang,” katanya.
Namun, kata wanita itu, tragedi berlaku pada cubaan kedua apabila kelajuan ‘snowtube’ yang dinaiki mereka berbeza dari sebelumnya.
“Tube Fayyadh meluncur laju dan bertembung dengan tube mommy dan Safiyah. Dia tercampak keluar dan jatuh atas lantai salji yang keras, kepala terhentak dan terus pengsan,” luahnya.
Syira berkata, dua pelancong Korea yang berada berhampiran segera membantu mengalihkan tubuh anaknya ke kawasan selamat sementara dia sendiri menepuk-nepuk wajah kanak-kanak itu kerana tidak sedarkan diri.
Menurutnya, pekerja di sana hanya tiba kira-kira 10 minit kemudian dengan ‘walkie-talkie’ sebelum membawa Fayyadh ke pondok kecil untuk rawatan awal.
“Kecederaan kepala Fayyadh adalah serius. Mereka letakkan ais di kepala Fayyadh dan bertanya keadaannya berulang kali. Setelah mendapat arahan, mereka perlu membawa Fayyadh ke bilik pemeriksaan sekitar 10 minit dari situ untuk pemeriksaan lanjut.
“Mommy terpaksa berpisah seketika daripada suami dan anak-anak lain bagi menemani Fayyadh ke pemeriksaan perubatan. Pasukan perubatan bertindak cekap. Beliau segera menyatakan Fayyadh perlu dibawa ke Hospital Kanak-kanak di Bern melalui helikopter kerana hospital di Interlaken adalah untuk orang dewasa,” katanya.
Syira menambah, setibanyak di hospital, anaknya perlu melalui pemeriksaan kecemasan dan dipantau rapi selama empat jam bagi memastikan tiada komplikasi seperti muntah atau sakit kepala teruk.
Kata Syira, insiden itu memberi banyak pengajaran mengenai aspek keselamatan kawasan permainan salji, kepentingan pengurusan krisis dan rasa syukur atas pertolongan orang ramai.
“Paling saya syukur, Fayyadh masih ada bersama kami hari ini,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














