fbpx
HANNAH menjelaskan langkah untuk tidak memberikan dana tambahan kepada FAM adalah untuk meyakinkan semua pihak yang duit rakyat dibelanjakan secara baik dan telus.

Tiada dana tambahan buat FAM – KBS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

 

KUALA LUMPUR – Tiada sebarang dana tambahan akan diberikan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sehingga segala kemelut babitkan isu pemalsuan dokumen pemain warisan diselesaikan.

Menteri KBS, Hannah Yeoh berkata, keputusan ini adalah untuk mewujudkan keyakinan setiap dana daripada wang rakyat digunakan dengan baik dan ada akauntabiliti.

“Dana ini (yang diberikan kerajaan sebelum ini) tidak dibenarkan untuk FAM gunakan bagi proses-proses rayuan ini. Jadi kalau FAM nak pergi ke CAS (Mahkamah Timbang Tara Sukan), FAM kena bersedia untuk menanggung belanja.

“Tetapi buat masa ini saya nak nyatakan bagi pihak Kementerian Belia dan Sukan, kita akan pastikan buat masa ini kita tidak akan tambah geran untuk mereka sehingga FAM menguruskan isu ini dengan baik untuk meyakinkan rakyat semula, bahawa setiap dana yang diberikan dan digunakan dari duit rakyat ada akauntabiliti.

“Buat masa ini, saya hanya boleh cadangkan, satu, tidak ada lagi dana tambahan. Kita ‘tahan’ dulu untuk bantu pasukan kebangsaan dan pastikan ada penambahbaikan dulu,” katanya.

Jawatankuasa Rayuan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sebelum ini mengeluarkan laporan 63 muka surat berkaitan alasan penuh keputusan menolak rayuan FAM dan tujuh pemain terbabit berhubung isu pemalsuan dokumen.

Kedudukan Malaysia seakan diancam pemotongan mata dan tidak dapat melayakkan diri ke Piala Asia sekiranya Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) buat keputusan atau ambil tindakan kepada Harimau Malaya.

“Sama sama ada wajar ke CAS atau tidak, itu adalah hak FAM sebagai perayu dan memandangkan mereka mempunyai hak untuk ke CAS, maka mereka mempunyai peguam mereka sendiri untuk menasihati mereka sama ada peluang untuk berjaya itu tinggi atau tidak.

“Tetapi FAM kena bersedia jika CAS tidak berpihak kepada mereka, kemungkinan besar hukuman itu boleh dipertingkatkan. Yang itu, FAM kena buat pengiraan sendiri,” katanya.

Dalam masa sama, Hannah juga mencadangkan pada masa hadapan, sebarang permohonan naturalisasi atlet ataupun pemain yang dicadangkan oleh persatuan sukan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dirujuk dahulu kepada Majlis Sukan Negara (MSN).

“Ini kerana MSN lebih tahu mengenai keperluan sama ada pasukan ini memerlukan pemain warisan atau tidak. Semua ini kalau boleh saya nak cadangkan kepada KDN untuk pastikan dapatkan ulasan daripada MSN,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI