ISTANBUL – Polis Turkiye melancarkan siasatan selepas empat sekeluarga yang melancong ke bandar raya Istanbul meninggal dunia, dipercayai akibat keracunan, lapor saluran berita CNN semalam.
Menurut agensi berita Anadolu, keluarga Bocek dari Hamburg, Jerman, jatuh sakit pada 12 November lalu selepas seharian melawat salah satu lokasi pelancongan utama di Istanbul dan menikmati makanan jalanan.
Mereka pada mulanya dirawat berkaitan apa yang kelihatan seperti keracunan makanan. Keluarga itu kemudian dibenarkan keluar dari hospital tetapi kembali dengan gejala yang semakin teruk.
Dua kanak-kanak, Kadir, 6 dan Masal, 3, meninggal dunia pada Khamis lalu, manakala ibu mereka, Cigdem, 27, menemui ajal sehari kemudian.
Suaminya, Servet, 38, berada dalam keadaan kritikal hujung minggu lalu dan meninggal dunia Isnin lepas.
Pihak berkuasa menganggap keracunan makanan sebagai punca kematian dan mengarahkan penutupan gerai penjaja makanan di Ortakoy, Istanbul.
Polis kemudian mengalihkan tumpuan kepada keracunan melibatkan racun makhluk perosak apabila dua lagi pelancong yang menginap di hotel sama dengan keluarga Bocek dimasukkan ke hospital, Sabtu lalu.
Media Turkiye melaporkan, produk yang digunakan untuk membunuh pepijat telah disembur di bilik tingkat bawah dan mungkin sampai ke bilik keluarga tersebut melalui sistem pengudaraan hotel.
Hotel di bandar lama Istanbul itu ditutup sementara menunggu hasil siasatan. Pasukan forensik memenuhi premis tersebut Sabtu lalu dan mengumpul sampel daripada cadar, bantal, botol air dan selimut.
Laporan forensik awal menyatakan, analisis lanjut diperlukan untuk jawapan yang konkrit berhubung punca keracunan tetapi racun makhluk perosak dipercayai menjadi puncanya. – AGENSI















