SEREMBAN – Kerajaan Negeri mempergiatkan usaha advokasi secara berterusan bagi membantu pengguna memahami dan menyesuaikan diri dengan penggunaan aplikasi Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS) yang kini diwajibkan di semua premis jualan berdaftar.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S. Veerapan berkata, kempen yang dijalankan sejak Julai lalu bukan sekadar menekankan aspek pendaftaran, tetapi memastikan rakyat benar-benar faham cara sistem itu berfungsi dan manfaatnya kepada mereka sebagai penerima subsidi sah.
Menurut beliau, pendekatan advokasi berterusan itu penting bagi memastikan tiada pengguna tercicir, selain membantu mereka melakukan pembelian dengan lebih mudah, tanpa kekeliruan.
“Advokasi ini kita buat untuk mudahkan pengguna. Bila rakyat faham proses dan sudah daftar awal, pembelian minyak subsidi menjadi lebih lancar,” katanya ketika ditemui pada Tinjauan Penggunaan Sistem eCOSS di sebuah pasar raya di Senawang, hari ini.
Veerapan berkata, sistem berkenaan memastikan setiap transaksi pembelian minyak subsidi dilakukan melalui aplikasi yang mewajibkan pendaftaran maklumat pengguna, dengan had maksimum tiga paket sehari.
Katanya, kaedah itu terbukti berkesan menghalang pembelian oleh warga asing dan memastikan minyak subsidi sampai kepada golongan sasaran.
“Kempen kesedaran ini berjalan sehingga hujung tahun. Pekerja dan petugas kedai juga dilatih untuk membantu pengguna mendaftar. Kita pastikan semua orang dapat akses, termasuk yang kurang mahir teknologi,” katanya.
Dalam pada itu, Veerapan turut menambah, walaupun kebanyakan premis telah memulakan penggunaan sistem tersebut, masih terdapat segelintir yang belum mendaftar, dan mereka diingatkan bahawa kegagalan berbuat demikian adalah satu kesalahan. – KOSMO! ONLINE















