PETALING JAYA – Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail memberi bayangan akan ada perubahan penting berlaku dalam arena sukan negeri itu tidak lama lagi.
Menerusi hantaran di media sosial yang menunjukan baginda bergambar bersama tiga juara dunia pelbagai bidang, Tunku Mahkota Ismail bertitah bahawa perubahan itu akan memberi kesan besar dalam beberapa bulan mendatang.
“Tiga juara dunia. Lelaki sejati, lelaki dengan prinsip dan nilai. Bermula hari ini, banyak perkara akan berubah dalam beberapa bulan akan datang.
“Ketika peningkatan bertemu kehebatan. Ini takdir, Alhamdulillah,” menurut baginda pada ruang kapsyen.
Dalam hantaran tersebut, baginda berkongsi gambar bersama tiga ikon sukan dunia iaitu bekas juara dunia UFC, Khabib Nurmagomedov, bekas pemain ragbi New Zealand, Sonny Bill Williams dan bekas juara MMA, Soa ‘The Hulk’ Palelei dari Australia.
Tinjauan Kosmo! mendapati ramai penyokong sukan menanti perubahan yang bakal berlaku berdasarkan perkongsian tersebut.
“Johor akan menjadi mercu kejayaan sukan negara ke peringkat dunia,” komen @Tukqobin
“Pemimpin yang dihormati bukan hanya disayangi kerana menjuarai dunia. Tapi dihormati kerana memperjuangkan agama sebagai latar belakangnya,” komen @Merzaidey – KOSMO! ONLINE














