WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menggesa agar lesen penyiaran rangkaian televisyen ABC News dibatalkan ketika beliau meluahkan kemarahannya kepada seorang wartawan organisasi media tersebut, lapor laman berita CNBC semalam.
Trump berang ketika ditanya oleh wartawan bernama Mary Bruce, berhubung mengapa beliau belum mendedahkan fail-fail mengenai pesalah seks, mendiang Jeffrey Epstein yang juga rakannya.
“Saya rasa anda seorang wartawan yang teruk,” kata Trump kepada wartawan ABC News di White House, Washington, DC sambil menambah, beliau tidak menyukai sikap Bruce.
“Anda patut kembali dan belajar bagaimana (untuk) menjadi seorang wartawan. Tiada lagi soalan daripada anda,” kata Trump di Pejabat Oval di mana beliau menerima kunjungan Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed bin Salman.
Ketika kejadian, wartawan tersebut bertanya kepada Trump: “Mengapa perlu tunggu Kongres (AS) untuk mendedahkan fail Epstein? Mengapa tidak buat sekarang sahaja?”
Trump kemudian berkata: “Berhubung fail Epstein, saya tidak ada kaitan dengannya.”
Serangan lisan Trump itu berlaku sebelum Dewan Perwakilan AS mengundi secara majoriti besar untuk meluluskan rang undang-undang yang memaksa Jabatan Kehakiman (DOJ) mendedahkan semua rekodnya mengenai Epstein.
Awal tahun ini, DOJ menolak untuk mendedahkan dokumen-dokumen tersebut walaupun Peguam Negara, Pam Bondi dan pegawai-pegawai lain dalam pentadbiran Trump telah berjanji untuk berbuat demikian.
Trump tidak perlu menunggu Kongres AS meluluskan rang undang-undang itu. Beliau boleh mengarahkan DOJ untuk mendedahkan lebih banyak fail Epstein. – AGENSI















