fbpx
Masa yang diambil oleh mesin CycleWash membasuh dan mengeringkan sesebuah basikal sekitar 10 minit.

Mesin cuci basikal mesra alam jadi tumpuan ramai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MESIN cuci kereta automatik sering menjadi pilihan pemilik kenderaan yang mahu menjimatkan masa dan tenaga. Ini kerana, mereka tidak perlu menunggu lama berbanding dicuci secara manual.

Manfaat sama menjadi pegangan salah sebuah syarikat cucian, CW Cleaning Solutions apabila menghasilkan mesin yang mampu mencuci dan mengeringkan basikal dalam tempoh kurang 10 minit.

Mesin yang diberi nama CycleWash itu dapat digunakan secara percuma bagi menggalakkan penduduk di Boston, Amerika Syarikat (AS) menggunakan basikal ke tempat kerja.

Tindakan tersebut secara tidak langsung memperkukuhkan imej Boston sebagai bandar hijau, di samping memperluaskan fasiliti awam buat penunggang basikal.

Plaza Government Center telah dipilih sebagai lokasi pertama bagi menempatkan mesin CycleWash. Lokasi itu bukan sahaja menjadi pusat tumpuan pelancong, malah sering dikunjungi oleh pekerja kerajaan dan komuniti basikal.

Menurut jurucakap CycleWash, mesin tersebut menggunakan semburan air bertekanan tinggi bagi membersihkan rangka, roda dan rantai basikal tanpa merosakkan komponen lain.

Sementara itu, sabun mesra alam digunakan agar proses pembersihan dapat dibuat dengan lebih lancar, tanpa menjejaskan permukaan logam, cat mahupun mencemarkan alam sekitar.

Hos air turut disertakan pada bahagian luar mesin untuk memudahkan pengguna membersihkan kotoran degil pada basikal.

“Bahan yang digunakan sesuai untuk orang awam. Mesin ini dapat menjimatkan masa serta mengurangkan kerja manual kerana beroperasi secara automatik sepenuhnya.

“Air yang digunakan dikitar semula bagi mengurangkan pembaziran dan selaras dengan prinsip lestari.

“Sebaik saja mesin mengesan posisi basikal, semburan air dan berus lembut akan dikawal secara automatik bagi memastikan semua bahagian basikal dicuci secara menyeluruh,” katanya.

Berus mampu bergerak dari bawah ke atas dan boleh berputar mengikut lawan arah jam semasa proses mencuci yang memakan masa sekitar lima minit.

MESIN CycleWash ditempatkan di Plaza Goverment Center, Boston, AS.

Sebelum proses mencuci berlangsung, pintu mesin perlu ditutup terlebih dahulu.

Basikal boleh dimasukkan secara menegak atau terbalik ke dalam mesin cuci. Kemudian, basikal yang sudah siap dicuci akan dikeringkan dengan peniup udara.

Tidak hanya di AS, teknologi mesin CycleWash terlebih dahulu menarik perhatian di 17 negara lain, khususnya di Eropah seperti Jerman, Belgium, Poland, Norway, Perancis dan Switzerland.

Menerusi video demonstrasi yang dikongsikan, mesin tersebut dilengkapi dengan skrin sentuh pada bahagian sisi untuk kemudahan pengguna.

Skrin itu memaparkan jumlah tenaga (elektrik) yang digunakan sepanjang proses berlangsung, di samping menggunakan air kitar semula dan tenaga elektrik dijana daripada sumber boleh diperbaharui.

Ia selari dengan dasar tenaga bersih yang digariskan oleh bandar Boston.

Menurut laporan WBB News, kemudahan baharu itu menjadi tumpuan pengguna basikal di kawasan bandar tersebut kerana dianggap sebagai inovasi berimpak besar.

“Basikal saya selalu kotor selepas menunggang di kawasan berhampiran Sungai Charles terutama selepas hujan.

“Lumpur yang melekat pada basikal agak sukar dicuci jika sudah mengeras.

“Kini, saya tidak perlu tergesa-gesa pulang ke rumah untuk mencuci. Saya boleh bersihkan basikal dengan cepat sebelum ke tempat kerja dengan mesin ini,” ujar salah seorang pengguna mesin CycleWash, Alex Turner.

Selain Plaza Government Center, pihak berkuasa Boston sedang menilai beberapa lokasi tumpuan lain seperti di sekitar universiti dan kawasan awam untuk menempatkan mesin CycleWash.

Usaha itu selaras dengan harapan Go Boston 2030 iaitu pelan strategik untuk mengurangkan kebergantungan terhadap kenderaan bermotor dan memperkukuhkan sistem pengangkutan alternatif.

Antara matlamat utama agenda tersebut adalah mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 50 peratus menjelang 2030 dengan menggunakan pengangkutan awam, basikal dan berjalan kaki.

Terdahulu, Datuk Bandar Boston, Michelle Wu meluahkan kesungguhan bandar tersebut untuk memperluaskan infrastruktur mesra basikal seperti lorong khas dan tempat letak kenderaan itu.

“Memperluaskan kemudahan mesra basikal dan mobiliti hijau menjadi sasaran utama kami untuk mencapai objektif bandar bebas karbon,” katanya dalam satu kenyataan akhbar.

Walaupun mesin tersebut mendapat sambutan positif daripada penggemar basikal, namun terdapat beberapa pihak yang mempersoalkan kewujudan mesin berkenaan kerana dikatakan dibiayai oleh dana awam sebanyak AS$57,000 (RM235,300).

Sesetengah penduduk berpendapat dana itu lebih wajar digunakan untuk memperbaiki jalan raya atau menambah baik laluan basikal sedia ada.

Memetik perkongsian seorang pengguna X dikenali sebagai Amber Smith, dia meluahkan rasa tidak puas hati terhadap kemunculan mesin berkenaan kerana disifatkan sebagai satu pembaziran.

“Di manakah kita dapat melihat cucian kereta percuma yang menggunakan cukai awam untuk kegunaan setengah pihak saja?

“Ini satu pembaziran apabila wang kami digunakan untuk perkara bodoh yang pernah saya lihat.

“Di mana pergi audit kita, adakah mereka tidak menilai tentang ini?,” tulisnya.

Biarpun mengundang pelbagai reaksi, Wu bagaimanapun tidak memberikan sebarang kenyataan mengenai perkara itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN