GEORGE TOWN – Luluh hati seorang isteri apabila mengetahui suaminya yang hilang selepas terjatuh Jambatan Pulau Pinang di sini, Ahad lalu ditemukan dalam keadaan tidak bernyawa, pagi tadi.
Nurul Natasha Amyra Ishak, 19, berkata, dia menerima panggilan berhubung penemuan mayat suaminya yang berusia 25 tahun kira-kira pukul 9.50 pagi.
Menurut ibu dua anak itu, jenazah suaminya kini berada di Hospital Pulau Pinang (HPP).
“Mayat suami sudah dijumpai kira-kira 9.50 pagi. Saya belum pasti jumpa di mana dan baru nak pergi ke hospital,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.
Terdahulu, Nurul Natasha yang mengandung lima bulan memuat naik gambar mereka empat beranak di TikTok malam tadi dan menitip pesanan kepada orang ramai agar tidak meninggalkan komen negatif berhubung kejadian tersebut.
Dalam perkongsian itu, Nurul Natasha merayu orang ramai supaya menjaga hati, perasaan dan mentalnya sepanjang menempuh detik sukar tersebut.
Kelmarin, Kosmo! Online melaporkan seorang pemuda dikhuatiri lemas selepas terjatuh di Kilometer 2.8, Jambatan Pulau Pinang menghala ke Perai pada petang Ahad lalu.
Terdapat bungkusan plastik berisi pakaian, telefon bimbit dan motosikal jenis Yamaha Y16 ditemukan di tepi tembok jambatan berkenaan. – KOSMO! ONLINE















