fbpx
Ivana Smith

Kerajaan dibenar tangguh bayar ganti rugi kepada ibu model Belanda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini hari ini membenarkan permohonan kerajaan untuk menangguhkan bayaran ganti rugi sebanyak RM1.1 juta kepada ibu model warga Belanda, Ivana Esther Robert Smit yang mayatnya ditemukan di balkoni tingkat enam sebuah kondominium di Kuala Lumpur.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim diketuai Datuk Mohamed Zaini Mazlan selepas berpuas hati wujud keadaan khas yang mewajarkan penangguhan tersebut.

“Kami dengan ini berpuas hati bahawa wujud keadaan khas yang mewajarkan penangguhan. Justeru, atas sebab-sebab ini, kami membenarkan permohonan tersebut dan tidak membuat apa-apa perintah mengenai kos.

“Pelaksanaan penghakiman Mahkamah Tinggi bertarikh 29 Julai 2025 ditangguhkan sehingga rayuan diputuskan. Kami turut mengarahkan agar pihak pendaftar menetapkan tarikh pendengaran rayuan untuk diselesaikan dengan segera,” katanya.

Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Datuk Ismail Ibrahim dan Datuk Lim Hock Leng.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan kerajaan untuk menangguhkan bayaran ganti rugi RM1.1 juta kepada Christina Carolina Gerarda Johanna Verstappen. Hakim Roz Mawar Rozain turut memerintahkan kerajaan mendepositkan bersama faedah terkumpul ke dalam akaun amanah.

Sebelum itu, Mahkamah Tinggi memerintahkan kerajaan membayar ganti rugi kepada keluarga Ivana selepas membenarkan saman yang dikemukakan ibunya selepas mendapati terdapat kecuaian oleh pihak polis dalam mengendalikan siasatan kematian gadis itu pada 2017.

Christina Carolina, 60, selaku plaintif memfailkan saman itu pada 20 November 2020 terhadap Ketua Polis Negara, Pegawai Penyiasat Dang Wangi, Asisten Superitendan Faizal Abdullah, Menteri Dalam Negeri dan kerajaan Malaysia selaku defendan.

Saman itu berhubung dakwaan melanggar kewajipan statutori dan cuai dalam siasatan bagi menentukan punca kematian anaknya.

Pada 7 Disember 2022, Mahkamah Tinggi menolak permohonan polis dan kerajaan untuk membatalkan saman yang difailkan plaintif atas alasan kes tersebut tidak sesuai dibatalkan kerana terdapat persoalan serius yang perlu dihujahkan melalui perbicaraan penuh.

Pada 18 Mac 2019, Mahkamah Koroner memutuskan kematian Ivana adalah disebabkan misadventure (kematian akibat nahas). Tidak berpuas hati dengan keputusan itu, Christina Carolina mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Tinggi pada 22 November 2019.

Hakim Collin Lawrence Sequerah mengetepikan keputusan Mahkamah Koroner dan menggantikannya dengan ‘kematian disebabkan oleh seorang atau beberapa individu tidak dikenali’ dan memerintahkan Peguam Negara mengarahkan polis memulakan siasatan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI