KEMAMAN – Seorang anak sanggup berhenti kerja sebagai pekerja kontrak pelantar minyak demi menjaga ibunya yang menderita penyakit diabetes kronik, tekanan darah tinggi dan buah pinggang tahap lima.
Nata Mohd. Nasir, 38, berkata, keputusan berat itu terpaksa diambil selepas penyakit diabetes ibunya, Kamaryah Sepeiai, 64, yang dideritai sejak 28 tahun lalu semakin kronik sejak Mac lalu.
“Diabetes bukan sahaja menyebabkan fungsi buah pinggang ibu saya semakin menurun, malah penglihatannya juga kini semakin terhad.
“Dia juga terpaksa berjalan dengan tongkat setelah ibu jari kaki kanannya terpaksa dipotong akibat komplikasi penyakit itu,” katanya ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Bukit Anak Dara, di sini, semalam.
Anak ketiga daripada enam beradik itu berkata, selain menjaga makan minum dan penjagaan kesihatan ibunya, dia juga menguruskan rumah mereka termasuk mengemas, memasak dan membasuh pakaian.
“Ibu perlu dibantu untuk menjalani dialisis di rumah sebanyak empat kali sehari.
“Saya turut perlu membawa ibu membuka balutan luka pada bahagian kakinya di klinik berhampiran setiap dua hari selain rawatan susulan sebulan sekali,” katanya.
Nata yang masih bujang berkata, buat masa ini dia berjimat cermat menggunakan wang simpanan demi kelangsungan hidupnya bersama ibu.
Katanya, lima adik-beradiknya yang tidak menetap bersama turut banyak membantu mengikut kemampuan masing-masing bagi membiayai kos perubatan ibu mereka yang mencecah kira-kira RM1,000 sebulan.
“Buat masa ini tumpuan saya seratus peratus kepada ibu yang telah banyak berkorban untuk saya dan adik-beradik lain sejak kami kecil,” katanya.
Orang ramai yang bersimpati boleh menyalurkan bantuan menerusi akaun bank Kamaryah bernombor 704 957 1206 (CIMB) atau menghubunginya di talian 013-9511088.















