PETALING JAYA – Seorang pengunjung meluahkan rasa kecewa terhadap sikap segelintir individu yang menggunakan sabun dan syampu ketika mandi di kawasan air terjun.
Menerusi perkongsian di laman Thread, wanita tersebut berdepan situasi air sungai dipenuhi buih sabun semasa bermandi-mandi di sebuah taman eko rimba di Selangor baru-baru ini.
Katanya, tindakan itu bukan sahaja mengganggu pengalaman pengunjung lain yang datang untuk menikmati suasana alam semula jadi, malah menimbulkan bau sabun yang kuat hingga merosakkan suasana.
“Kepada sesiapa yang pergi air terjun, tolonglah jangan mandi guna sabun dan syampu.
LSemua orang datang nak merasai alam semula jadi. Tiba-tiba masuk bau sabun sangat spoil ya,” tulis hantaran itu.
Tinjauan di ruang komen mendapati rata-rata pengguna mengecam perbuatan individu yang terlibat selain ada yang berkongsi pengalaman sama.
“Minggu lepas saya pergi mandi dekat Hulu Langat. Siap bersyampu lepastu botol syampu dia hanyutkan macam itu saja,” kata Nettielfa.
“Kesedaran pencemaran detergen ni memamg masih rendah dalam kalangan rakyat Malaysia, syampu, sabun basuh pinggang itu semua bahan kimia berbahaya kepada ekosistem, air yang mengandunginya perlu ditapis dan dirawat sebelum masuk ke sungai semula,” kata Amira.
“Kita kena fikirkan haiwan yang hidup dalam ekosistem air tu, dicemari oleh manusia yang tak bertanggungjawab dan bodoh bab alam,” kata posmen. – KOSMO! ONLINE















