SETIU – Hasrat seorang wanita untuk memperoleh komisen lumayan hasil tugasan ulasan produk bukan sahaja tidak kesampaian, malah terpaksa menanggung rugi RM40,250 selepas diperdaya ‘scammer’.
Peniaga berusia 43 tahun itu yang menyedari ditipu membuat laporan berhubung kes tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah Setiu di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Setiu, Superintendan Mohd. Zain Mat Dris berkata, kejadian bermula apabila mangsa dihubungi individu mendakwa wakil aplikasi pembelian barang pada pukul 7.07 malam, 10 November lalu.
Mangsa ditawarkan produk yang diberikan secara percuma sekiranya dia membuat ulasan.
“Wanita itu kemudian ditawarkan tugasan kononnya menjanjikan komisen lumayan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Jelasnya, suspek memaklumkan mangsa akan menerima komisen lebih tinggi jika membuat pembayaran. Mangsa menuruti arahan tersebut sebelum menyedari ditipu apabila tidak menerima sebarang pulangan seperti yang dijanjikan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu. – KOSMO! ONLINE















