LIVERPOOL – Pemain pertahanan Liverpool, Ibrahima Konate memberi bayangan bahawa dia akan membuat keputusan mengenai masa depannya tidak lama lagi.
Bagaimanapun, pemain antarabangsa Perancis itu menafikan bahawa sudah menerima tawaran kontrak baharu daripada Liverpool ketika perjanjian semasa akan tamat pada penghujung musim ini.
Pada Januari lalu, Konate mendedahkan bahawa dia menerima tawaran baharu daripada The Reds, namun beberapa terma yang dikemukakan tidak menepati apa yang diinginkan menyebabkan proses rundingan terus berlangsung.
Selepas menjulang kejuaraan Liga Perdana Inggeris pada Mei lalu, Konate melabelkan semua berita yang disebarkan mengenai dirinya sudah bersetuju untuk kekal di Anfield dan menerima kontrak baharu adalah tidak benar.
Selepas enam bulan berlalu, ketika ini pemain berusia 26 tahun itu masih belum menandatangani sebarang kontrak baharu ketika Real Madrid dan Paris Saint-Germain sedang memantau secara dekat perkembangannya.
Menjelang jendela perpindahan Januari ini, Konate bakal mendapat kebenaran untuk mengadakan rundingan dengan kelab-kelab lain dan menandatangani pra kontrak berbaki enam bulan sahaja lagi tempohnya di Liverpool.
“Saya melihat laporan akhbar bahawa Liverpool sudah menawarkan saya kontrak. Saya tidak tahu dari mana berita itu datang. Ejen saya masih berbincang dengan pihak kelab dan saya harap ia dapat diselesaikan secepat mungkin supaya saya dapat membuat pengumuman,” katanya. – AGENSI














