JITRA – Perasaan seorang pengantin remuk apabila lelaki yang menjadi pilihan hatinya menghilangkan diri pada hari mereka sepatutnya diijabkabulkan, kelmarin.
Menurut Nor Syafiqah Mohd. Sharif, 28, dia sudah siap mengenakan persalinan serba putih, namun bakal suaminya itu tidak kunjung tiba.
“Saya tunggu tetapi dia tidak datang, telefon pun tidak berjawab. Perasaan waktu itu bercampur baur, memang sedih dan malu kerana ramai tetamu yang hadir. “Kenduri dengan kira-kira 1,000 jemputan terdiri daripada saudara-mara dan rakan-rakan di rumah di Kampung Padang Luar tetap diteruskan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, lelaki berusia 36 tahun yang tinggal dekat sini itu gagal dihubungi sehingga kini.
“Dia seorang yang baik tetapi hubungan kami sebenarnya tidak direstui keluarganya, namun dia tetap mahu meneruskan perhubungan.
“Saya pernah menolak beberapa kali kerana bimbang keluarganya tidak suka tetapi dia tetap datang kepada saya sehingga kami membuat keputusan untuk berkahwin,” ujar ibu tunggal seorang anak itu.
Menurutnya, sehari sebelum majlis, lelaki terbabit datang menghantar barangan katering untuk kenduri sempena akad nikah tersebut.
“Katering buat sendiri sebab saya mengusahakan kedai makan. Ketika dia datang menghantar barangan itu, dia tidak menyebut apa-apa yang mencurigakan.
“Pada malam hari sama, dia tidak hadir ke majlis makan yang diadakan dan saya sudah rasa ada yang tidak kena. Pada hari majlis, dia juga gagal dihubungi,” jelasnya.
Katanya, dia menangis seharian selepas lelaki berkenaan tidak muncul, sebelum menukar pakaian biasa pada pukul 11 pagi.
“Dia bekerja sebagai pemandu lori dan kadang kala membantu di kedai makan saya. Saya juga membuka premis cuci kereta dan rancang untuk minta dia uruskannya tetapi semuanya musnah,” jelasnya.
Nor Syafiqah berkata, majlis kenduri kahwin yang dijadualkan pada 13 Disember depan turut terpaksa dibatalkan.
“Saya berbelanja kira-kira RM12,000 untuk kenduri akad nikah ini tetapi ia tidak berlaku seperti dirancang,” katanya.
Tambahnya, dia sudah menemui peguam bagi mendapatkan khidmat nasihat dan bercadang untuk memfailkan saman.
“Namun begitu, jika mereka datang dan jelaskan apa berlaku, mungkin ada budi bicara daripada saya. Apa pun, saya perlu berbincang dengan adik-beradik lain,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














