SHAH ALAM – Bahana mabuk mendorong seorang pengawal keselamatan warga Nepal bertindak luar perikemanusian apabila meliwat seekor kucing sebelum mencampaknya dari tingkat empat sebuah pangsapuri di Kota Kemuning, di sini semalam.
Kejadian dikatakan berlaku kira-kira pukul 12.30 tengah malam ketika seorang wanita bersama suaminya
baharu tiba di kediamannya di pangsapuri.
Pemangku Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superintendan Ramsay anak Embol berkata, pasangan suami isteri itu melihat suspek dalam keadaan bogel dipercayai sedang meliwat seekor kucing dari dalam kereta mereka.
Katanya, suami pengadu kemudiannya naik ke aras empat untuk menegur perbuatan tidak bermoral suspek itu.
“Namun, suspek telah bertindak mencampak kucing itu ke bawah sebelum melarikan diri.
“Kejadian tersebut turut dirakam oleh pengadu menggunakan telefon bimbitnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, suspek berusia 33 tahun itu berjaya ditangkap kira-kira pukul 4.45 pagi hari sama, sebelum siasatan mendapati lelaki tersebut bekerja sebagai pengawal keselamatan di pangsapuri berkenaan.
“Hasil siasatan mendapati suspek bertindak demikian disebabkan dibawah mabuk akibat pengaruh alkohol.
“Lelaki itu kini direman selama lima hari sehingga 19 November depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 377 dan Seksyen 428 Kanun Keseksaan,” ujarnya.
Kata beliau, kucing tersebut dipercayai masih hidup dan mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut mengenai kejadian itu boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohamad Zulkifli Mohamad di talian 0111-6958529. – KOSMO! ONLINE















