fbpx
GAMBAR HIASAN

Kluster mpox baharu libatkan empat sekeluarga, KKM sahkan situasi terkawal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan satu kluster baharu jangkitan mpox melibatkan empat individu daripada sebuah keluarga, dengan kes indeks dikesan mempunyai sejarah perjalanan ke Afrika Barat.

KKM dalam kenyataan hari ini berkata, kes indeks melibatkan seorang lelaki bukan warganegara yang mula menunjukkan gejala pada 20 Oktober lalu sebelum disahkan positif mpox (Clade II) pada 12 November 2025.

“Hasil siasatan lanjut kemudian membawa kepada pengesanan tiga ahli keluarga serumah yang turut mula bergejala pada 30 Oktober dan disahkan positif sehari selepas itu, iaitu pada 13 November 2025.

“Kesemua pesakit kini berada dalam keadaan stabil dan sedang menjalani pengasingan di rumah,” katanya.

Tambah kenyataan tersebut, semua kontak rapat telah dikenal pasti, disaring serta diarahkan menjalani pengasingan, dan hasil siasatan mendapati setakat ini penularan didapati hanya terhad dalam kalangan ahli keluarga.

Mpox, sebelum ini dikenali sebagai monkeypox, ialah jangkitan virus daripada genus Orthopoxvirus yang menyebabkan gejala seperti demam dan ruam atau lepuh pada muka, tapak tangan, tapak kaki, kemaluan serta kawasan mata.

Jangkitan berlaku melalui sentuhan rapat dengan pesakit, termasuk melalui sentuhan ruam atau lepuh, hubungan seksual, atau permukaan yang tercemar dengan cecair badan individu yang dijangkiti.

Penyakit ini boleh menjadi lebih serius bagi kanak-kanak, wanita hamil dan individu berimuniti rendah.

Dalam perkembangan lanjut, KKM berkata setakat Minggu Epidemiologi ke-46 tahun ini, pihaknya mengesahkan sebanyak 12 kes mpox dilaporkan, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 23 kes sejak kes pertama dikesan pada Julai 2023.

Jelasnya, daripada keseluruhan kes, 22 daripadanya adalah jangkitan Clade II manakala satu kes melibatkan Clade Ib.

“Kesemua kes berjaya dibendung melalui pengesanan awal, pengasingan pesakit dan pemantauan kontak rapat, selain tiada penularan meluas dalam komuniti dikesan sehingga kini,” ujarnya.

Dengan penularan mpox masih berlaku terutama dalam kalangan individu berisiko, KKM menasihati agar orang ramai mengelakkan sentuhan langsung dengan individu yang bergejala atau disyaki dijangkiti.

Selain itu, KKM menyarakan agar orang ramai mendapatkan rawatan segera sekiranya mengalami simptom seperti demam, ruam lepuh atau bengkak kelenjar limfa.

“Walaupun status Public Health Emergency of International Concern (PHEIC) bagi mpox telah ditamatkan pada 5 September lalu, KKM menegaskan pemantauan rapi akan diteruskan di peringkat nasional dan antarabangsa.

“Kerjasama masyarakat dalam mematuhi nasihat kesihatan awam amat diperlukan bagi memastikan penularan jangkitan ini dapat dicegah secara berkesan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN