PETALING JAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan sindiket besar penyeludupan dadah menggunakan kaedah kontena seperti dibangkitkan Perdana Menteri berada dalam perhatian dan tindakan pencegahan serta siasatan sedang dipergiatkan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya sudah memiliki maklumat berhubung rangkaian kartel tersebut dan beberapa langkah siasatan serta operasi sedang dijalankan.
“Kaedah membawa dadah melalui kontena bukan perkara baharu namun masih menjadi pilihan sindiket. Justeru, pemantauan dan risikan terus dilaksanakan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Hussein berkata, JSJN turut bekerjasama rapat dengan pelbagai agensi tempatan termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Agensi Kawalan Perlindungan Sempadan Malaysia dan pihak berkuasa pelabuhan bagi memperkukuh kawalan, selain kerjasama rentas negara bersama agensi penguat kuasa luar.
Mengulas pendedahan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai dakwaan pembabitan ahli politik dalam sindiket berkenaan, Hussein memaklumkan siasatan lanjut masih berjalan dan melibatkan pelbagai sudut termasuk rangkaian antarabangsa.
“Kami juga bekerjasama dengan pihak berkuasa Australia termasuk berkongsi maklumat siasatan dan laporan forensik. Difahamkan seorang suspek di sana sedang menunggu proses pertuduhan,” ujarnya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan Anwar mendedahkan terdapat kartel besar yang menyeludup masuk dadah ke negara ini.
Anwar berkata, perkara itu telah beliau dengari sejak 20 tahun lalu, namun tiada tindakan.
Katanya, selepas menjadi Perdana Menteri dan menunggu selama setahun, tiada laporan mengenai kartel besar yang membawa dadah itu menggunakan kontena. – KOSMO! ONLINE















