KUALA KANGSAR – Beregu campuran badminton negara, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei serta bekas atlet boling kebangsaan, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi menerima pingat sempena Ulang Tahun Keputeraan ke-69 Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Tang Jie, 27, dan Ee Wei, 25, menerima Pingat Pekerti Terpilih (PPT) manakala Syaidatul Afifah, 34, pula dikurniakan Darjah Ahli Mahkota Perak (AMP).
Tiga tokoh sukan itu merupakan antara 205 penerima Darjah Kebesaran dan Pingat-pingat Negeri Perak pada istiadat yang berlangsung di Istana Iskandariah, Bukit Chandan di sini hari ini.
Berangkat sama pada istiadat itu, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Almarhum Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.
Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan isteri, Datin Aezer Zubir.
Terdahulu, dalam istiadat berkenaan, Pakar Patologi Hospital Teluk Intan, Dr. Abdul Kadir Rifaei Abd Rashid Khairi mendahului senarai penerima Darjah Paduka Cura Si Manja Kini (PCM).
Penganugerahan darjah kebesaran itu turut melibatkan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat, Farah Adura Hamidi; Timbalan Pengarah Kanan Unit Perancang Ekonomi Negeri, Haslinda Alias dan Timbalan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Perak, Dr Husna Maizura Ahmad Mahir bersama sembilan lagi penerima lain.
Pada istiadat itu juga, Sultan Nazrin berkenan mengurniakan Darjah Paduka Mahkota Perak (PMP) secara anumerta kepada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning, Allahyarham Ishsam Shahruddin yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 22 Februari lalu serta 25 penerima lain.
Selain itu, turut menerima darjah kebesaran dan pingat pada istiadat sama ialah 14 penerima Darjah Ahli Cura Si Manja Kini (ACM), 39 penerima bagi Darjah Ahli Mahkota Perak (AMP), 57 penerima untuk Pingat Pekerti Terpilih (PPT) manakala 46 dan lapan penerima masing-masing bagi Pingat Jasa Kebaktian (PJK) dan Pingat Lama Perkhidmatan (PLP).-KOSMO! ONLINE















