PETALING JAYA – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyambut baik inisiatif Kerajaan Johor yang menyalurkan bantuan pendidikan melalui Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) kepada lebih 12,000 anak yatim di negeri itu menerusi Belanjawan Johor 2026.
Belanjawan bertemakan ‘Bangsa Johor Sejahtera’ yang dibentangkan Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi pada 13 November lalu memberi penekanan kepada aspek kebajikan dan jaringan keselamatan sosial, termasuk Bantuan Kasih Johor (BKJ) Anak Yatim.
Sebagai sebahagian daripada bantuan tersebut, seramai 12,307 anak yatim akan menerima bantuan tunai dan simpanan Simpan SSPN sebanyak RM2,000 seorang melibatkan peruntukan keseluruhan RM24.6 juta.
Pembayaran akan dibuat dalam tiga fasa iaitu RM300 pada Disember 2025, RM300 pada Februari 2026 dan baki RM1,400 terus dimasukkan ke akaun Simpan SSPN bagi simpanan pendidikan jangka panjang
Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, inisiatif tersebut membuktikan keprihatinan kerajaan negeri terhadap kebajikan pendidikan golongan rentan termasuk anak-anak yatim.
“Saya melihat pengumuman ini sebagai bukti komitmen Kerajaan Negeri Johor yang mengambil berat aspek pendidikan, khususnya membela nasib anak-anak yatim.
“Pada masa sama, ia menggalakkan budaya menabung sejak awal agar mereka mempunyai persediaan kewangan yang kukuh untuk masa depan,” katanya.
Beliau menambah bahawa penyaluran sebahagian bantuan BKJ ke dalam akaun Simpan SSPN menyokong agenda kerajaan dalam memperkasakan perancangan kewangan pendidikan di peringkat awal, sekali gus mengurangkan beban keluarga berpendapatan rendah.
PTPTN turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan Johor dan menyeru lebih banyak kerajaan negeri serta agensi kerajaan menjadikan Simpan SSPN sebagai pilihan utama dalam pemberian insentif pendidikan.
Menurut Norliza, rakyat Johor bertuah kerana mempunyai kerajaan yang cakna dan komited menyediakan pelbagai bantuan kewangan untuk persediaan pendidikan anak-anak.
Simpan SSPN menawarkan pelbagai manfaat seperti pelepasan cukai sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful percuma bagi simpanan RM1,000 ke atas, Geran Sepadan sehingga RM10,000 bagi keluarga layak, dividen kompetitif dan patuh syariah serta simpanan dijamin kerajaan.- KOSMO! ONLINE.















