PETALING JAYA – Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) mengesahkan insiden kebocoran air di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 semalam berpunca daripada kecuaian kontraktor ketika menjalankan kerja-kerja pembaikan bumbung.
MAHB dalam kenyataan berkata, kejadian itu berlaku ketika kerja pemulihan dan kalis air bumbung sedang dijalankan pada bangunan utama terminal sebagai sebahagian daripada projek penyelenggaraan infrastruktur yang semakin uzur.
Menurutnya, ketika kontraktor sedang melakukan kerja penyegelan pada saluran air bumbung, aktiviti petir dikesan semakin kuat di kawasan KLIA.
“Mengikut prosedur keselamatan, kerja dihentikan serta-merta dan kakitangan diarahkan meninggalkan kawasan bumbung.
“Bagaimanapun, dalam situasi tergesa-gesa untuk beredar akibat cuaca buruk, kontraktor terbabit gagal menanggalkan papan lapis yang digunakan sementara untuk menutup saluran air bagi tujuan keselamatan. Tindakan itu menyebabkan satu daripada sistem perparitan bumbung terhalang,” kata kenyataan itu hari ini.
MAHB berkata, hujan lebat luar biasa yang melanda selepas itu mengakibatkan air bertakung di atas bumbung kerana aliran keluar tersumbat dan tekanan air yang tinggi akhirnya menyebabkan kebocoran serius pada siling terminal hingga menjejaskan kawasan balai berlepas.
“Pasukan tindak balas berjaya membersihkan dan mengamankan kawasan terjejas dalam tempoh satu jam setengah sebelum operasi kembali normal.
“Kegagalan kontraktor menanggalkan papan lapis seperti yang ditetapkan merupakan punca langsung kebocoran serius ini. Ia adalah kecuaian yang tidak boleh diterima dan berada di bawah piawaian kerja yang dijangka daripada kontraktor yang menguruskan infrastruktur kritikal lapangan terbang,” katanya.
Menurut MAHB, KLIA memikul tanggungjawab besar kepada orang ramai dan bertekad memastikan kontraktor serta rakan kerja memenuhi standard tersebut danindakan tegas sedang diambil ke atas kontraktor terbabit.
Tambahnya, MAHB sedang bekerjasama dengan kontraktor untuk menambah baik prosedur kerja termasuk kewajipan merujuk ramalan cuaca sebelum memulakan kerja di bumbung serta memperkukuh langkah kontingensi ketika kerja dihentikan akibat cuaca buruk.
“Kerja pemulihan bumbung KLIA adalah sebahagian daripada projek selama setahun yang bermula pada April 2025, merangkumi usaha menaik taraf dan mengukuhkan infrastruktur bawah program pembaharuan menyeluruh MAHB,” katanya.
Semalam, Kosmo! melaporkan KLIA Terminal 1 kecoh seketika apabila beberapa bahagian dalam bangunan itu mengalami kebocoran air susulan ribut kuat yang melanda kawasan berkenaan. – KOSMO! ONLINE















