PETALING JAYA – vivo terus mencipta kelainan apabila membawakan revolusi pengalaman hiburan mudah alih menerusi pelancaran siri baharunya, vivo X300 dan vivo X300 Pro yang turut menjadi simbol gabungan inovasi, gaya hidup dan ekspresi tanpa batas.
Dilancarkan dengan penuh gaya di Kuala Lumpur, siri vivo X300 membawa evolusi kepada konsep ‘telefon konsert’ melalui kamera telefoto ZEISS APO 200MP yang membolehkan pengguna merakam persembahan dari jauh tanpa kehilangan butiran, warna atau emosi sebenar.
Dengan kamera ZEISS APO 200MP, vivo X300 Pro pula memecahkan sempadan keupayaan pengimejan mudah alih kerana ia mampu menangkap setiap perincian persembahan, daripada kilauan lampu pentas hingga getaran emosi artis dengan kejelasan dan warna setaraf kamera profesional.
Kehebatan teknologi ini terbukti apabila keseluruhan majlis pelancaran siri X300 dirakam dan disiarkan menggunakan X300 Pro sendiri.
Setiap detik, sorakan dan gerak tubuh penonton dirakam dengan jelas, membuktikan kemampuan sebenar lensa ZEISS Ultra-Clear dalam situasi pencahayaan yang mencabar.
Bagi peminat konsert dan hiburan, siri ini menampilkan fungsi Stage Mode 2.0 yang membolehkan pengguna merakam foto HD dan video 4K serentak.

Ia turut menawarkan Dual-View Video untuk rakaman dua arah iaitu pengguna dan artis kegemaran dirakam dalam satu bingkai yang harmoni.
Ciri ini menjadikan vivo X300 bukan sekadar telefon, tetapi alat penceritaan visual yang mampu membawa semula suasana konsert ke skrin pengguna.
Setiap momen terasa hidup, seolah-olah pengguna berdiri semula di tengah lautan penonton.
Dikuasakan oleh cip Dimensity 9500 hasil kerjasama vivo dan MediaTek, siri X300 memastikan setiap rakaman, penstriman dan penyuntingan berjalan lancar tanpa gangguan.
Dengan proses pembuatan TSMC N3P, cip ini menawarkan prestasi grafik yang stabil, kecekapan tenaga tinggi dan pemprosesan pantas untuk setiap tugasan berat.
Kualiti tontonan turut dipertingkat dengan paparan 8T LTPO beresolusi tinggi dan kecerahan maksimum 2000 nit.
Pengguna boleh menikmati rakaman atau siaran langsung dengan jelas walaupun di bawah cahaya pentas yang terang, disokong teknologi Full-Range PWM Dimming untuk keselesaan mata.
Siri vivo X300 juga dilengkapi dengan bateri BlueVolt System berkapasiti 6,510mAh untuk X300 Pro dan 6,040mAh bagi X300.
Ia disertakan dengan 90W FlashCharge dan 40W Wireless FlashCharge, memastikan tenaga mencukupi sepanjang persembahan panjang tanpa risau kehabisan kuasa.
Kehebatan pengimejan siri ini tidak terhenti pada kamera utama sahaja.
Kamera hadapan 50MP ZEISS Wide-Angle Autofocus memberikan hasil swafoto setaraf profesional, sesuai untuk pencipta kandungan, penggemar vlog dan mereka yang ingin berkongsi detik konsert dalam kualiti terbaik.
Siri X300 turut hadir dengan AI Image Studio, menjadikan rakaman lebih kreatif dan spontan.
Ciri seperti AI One-Shot Multi-Crop menghasilkan pelbagai gaya foto daripada satu rakaman, manakala AI Landscape Master memastikan latar konsert tampil dramatik tanpa perlu penyuntingan tambahan.

Sistem operasi OriginOS 6 yang pertama kali diperkenalkan di Malaysia melengkapkan pengalaman hiburan ini.
Reka bentuk antaramukanya lebih segar dan responsif, membolehkan pengguna menyesuaikan paparan mengikut keperluan sama ada untuk kerja, hiburan atau rakaman langsung.
Melalui fungsi Origin Island, pengguna boleh menerima cadangan pintar berdasarkan aktiviti, termasuk peringatan acara muzik, kemas kini siaran langsung atau jadual persembahan artis kegemaran.
Ia menjadikan siri ini bukan sekadar alat rakaman, tetapi peneman gaya hidup digital.
Daripada segi reka bentuk, vivo X300 menonjol dengan Unibody 3D Glass yang menggabungkan modul kamera dengan lancar, memberikan keselesaan genggaman serta rupa yang premium.
Kemasan velvet coral glass menampilkan tekstur lembut, tahan cap jari dan mesra kulit, sesuai dengan gaya moden pengguna muda.
Pilihan warna turut memberi dimensi gaya tersendiri, Halo Pink dan Mist Blue mencerminkan tenaga dan kreativiti, manakala Phantom Black serta Dune Brown memberi sentuhan klasik untuk pengguna profesional.

Sempena pelancaran ini, vivo Malaysia menawarkan pra-tempahan sehingga 21 November 2025 dengan hadiah eksklusif bernilai RM2,872, termasuk Telephoto Extender Kit dan Grip Kit khas untuk pemilik siri X300.
Selain itu, vivo juga menyediakan pelan ansuran 0 peratus sehingga 24 bulan serta kempen ‘Beli Sekarang, Bayar Kemudian’ melalui Grab dan SPayLater.
Pelanggan turut berpeluang menikmati rebat segera RM100 serta ganjaran tambahan daripada rakan bank terpilih.
Dengan gabungan teknologi pengimejan ZEISS, prestasi cip gred tinggi, sistem operasi pintar dan rekaan ergonomik, vivo X300 membuktikan bahawa hiburan moden kini tidak lagi terhad pada pentas besar, ia boleh diabadikan dalam genggaman tangan.
Sama ada anda pencinta muzik, pencipta kandungan atau sekadar ingin menikmati keindahan pengalaman langsung, vivo X300 ialah kunci untuk membuka dunia hiburan yang sebenar.
Telefon ini bukan sekadar peranti, tetapi saksi kepada setiap detik luar biasa yang ingin anda kenang selamanya. – KOSMO! ONLINE














