PETALING JAYA – Suasana di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Kota Bharu semalam dilaporkan sesak dengan ribuan pengguna serta pelancong dalam dan luar negara.
Ada yang membandingkan suasana di LTSIP seperti berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Menerusi perkongsian video oleh pengguna TikTok @Ben.ebrahem.30, individu tersebut turut bertanya apakah punca menyebabkan terlalu ramai orang di balai berlepas dan ketibaan LTSIP semalam.
“Lapangan terbang KB (Kota Bharu) 13 November 2025, full house (penuh). Kenapa ramai sangat, cuti tak ada, cuti sekolah pun belum,” soalnya.
Di ruangan komen, seorang pengguna, Abdullah berkata, suasana di LTSIP kini jauh lebih padat berbanding beberapa tahun lalu.
“Parking sentiasa penuh, orang keluar masuk tak berhenti. Nak cari tempat duduk pun kadang kena berdiri. Memang rasa macam berada di KLIA versi mini,” katanya.
Seorang lagi pengguna meninggalkan komen memaklumkan jumlah penerbangan tambahan terutama pada hujung minggu menyebabkan keadaan lebih meriah di LTSIP daripada biasa.
“Kalau dulu lengang saja, sekarang setiap kali saya hantar keluarga, mesti ramai orang. Kaunter daftar masuk pun beratur panjang,” ujarnya.
Baru-baru ini Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menyatakan LTSIP sudah boleh mengendalikan operasi penerbangan antarabangsa berjadual dan tidak berjadual seperti mana lapangan terbang domestik lain antaranya Kuantan dan Ipoh walaupun tidak dikategorikan sebagai lapangan terbang antarabangsa.
Projek naik taraf fasa kedua LTSIP boleh menampung 4 juta penumpang setahun. – KOSMO! ONLINE
@ben.ebrahem.30 kenapa ramai sangat airport ni. cuti takde. cuti sekolah pun belum.. #airport ♬ headlights – Maher Barake Photography














