KUALA LUMPUR – Selepas sehari didakwa di mahkamah, Inspektor Sheila membuat tiga laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini, semalam.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, wanita itu membuat laporan kerana tidak berpuas hati berkaitan tangkapan dirinya di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan.
Menurutnya, ia akan dirujuk kepada laporan asal berkaitan kes terbabit.
“Laporan kedua adalah disebabkan tidak berpuas hati terhadap anggota polis yang tidak menghormati beliau sebagai pegawai kanan polis.
“Kes ini diklasifikasi tiada tindakan lanjut (NFA) dan dirujuk ke Jabatan Intergriti dan Pematuhan Standard (JIPS),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Fadil berkata, wanita itu turut membuat laporan berikutan tidak puas hati terhadap peniaga makanan di bawah pokok Ketapang.
Bagaimanapun, katanya, kes diklasifikasikan sebagai tiada keasalahan jenayah (NOD)
Sebelum ini, Inspektor Sheila atau Sheila Sharon Steven Kumar, 37, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini kelmarin atas pertuduhan menghalang seorang anggota polis daripada menjalankan tugasnya, minggu lalu.
Sheila mendakwa anggota polis terbabit mengugut seorang lelaki Pakistan ketika melakukan rondaan cegah jenayah.
Malah, wanita sekali lagi menjadi tumpuan apabila tular rakaman video memaparkan dirinnya didakwa menimbulkan kekecohan di sebuah gerai makan di ibu negara, semalam.
Difahamkan, Inspektor Sheila telah digantung tugas sejak 23 Jun 2023, seiring beberapa kes lain yang pernah dikaitkan dengannya termasuk menghina seorang anggota polis dan mengugut seorang wanita warga emas. – KOSMO! ONLINE














