PETALING JAYA – Kek lapis yang dijual seorang bapa, bukan sekadar pencuci mulut tradisi Sarawak, sebaliknya lambang perjuangan untuk menampung kos rawatan anak sulungnya yang menghidap penyakit jantung kronik sejak lahir.
Mohamed Haffiez Mansor Taridi, 41, berkata, anak sulung daripada empat beradik, Qaireen Adriana Tihani, 14, mengalami masalah pada jantung dan injap yang tidak berfungsi dengan sempurna.
“Lebih kurang enam kali pembedahan jantung telah dilakukan sejak kecil dan insya-Allah anak saya akan menjalani satu lagi pembedahan besar pada 2 Mac 2026.
“Pembedahan besar ini untuk menukar injap utama, tetapi setiap kali pembedahan, saya jadi takut seperti waktu awal-awal dahulu. Saya tetap reda sebab itulah yang terbaik untuk dia terus hidup,” katanya kepada Kosmo!.
Mohamed Haffiez mula menjual kek lapis secara sambilan sejak 2022 selepas diberhentikan kerja ketika Covid-19, sebelum menjadi penghantar barang.
Dia dan isteri, Fazleen Noor Adnan, 37, sebelum ini bekerja dalam bidang perhotelan hampir 20 tahun sebelum diberhentikan.
Mohamed Haffiez juga menghidap penyakit haglund’s deformity, iaitu pembentukan benjolan tulang di bahagian belakang tumit yang menyebabkan geseran pada tendon achilles.
“Doktor beritahu kedua-dua tendon saya mengalami keradangan dan tekanan kronik. Sebab tu saya akan rasa sakit yang teramat apabila berdiri atau berjalan.
“Saya kini terpaksa menjadikan jualan kek lapis sebagai pekerjaan sepenuh masa. Isteri bekerja sebagai pembantu kedai kek dengan gaji RM1,800 sebulan,” katanya.
Menurutnya, pembedahan anaknya itu nanti sebahagiannya akan ditanggung kerajaan dan dia juga memohon bantuan Lembaga Zakat Selangor bagi menampung kos sampingan.
Katanya, komuniti setempat dan jawatankuasa surau banyak membantu keluarga mereka, termasuk menyediakan bantuan kewangan serta barangan asas.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubunginya di talian 017-668 7229 atau sumbangan ke akaun Bank Islam 88300021065015 (Mohamed Haffiez Mansor Taridi).















