fbpx
Tangkap layar video luahan pesara tersebut terhadap Asyraf ketika ditemui hari ini.

‘Saya pantang peminjam culas bayar hutang!’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menzahirkan rasa kesal dan kemarahan terhadap golongan peminjam yang culas membayar balik pinjaman sehingga menyebabkan penjamin menjadi mangsa dan terpaksa menanggung beban hutang.

Melalui satu hantaran di Facebook, Asyraf berkata, luahan tersebut didengari daripada seorang pesara kerajaan yang ditemuinya selepas meninjau reruai di lobi Mara sempena program Peace of Mind tengah hari tadi.

“Masa 28 tahun dahulu, saya bekerja dengan kerajaan pagi. Budak tu datang minta saya tanda tangan untuk dia sambung belajar dekat luar negara.

“Balik tu hilang. Tapi anak orang besar, tengok Facebook dok menyanyi apa semua. Tapi tak nak bayar. Saya penjamin nombor dua, penjamin nombor satu dah meninggal dunia,” luah pesara tersebut.

Menurut Asyraf, lebih menyedihkan apabila peminjam yang sebenarnya bertanggungjawab melangsaikan pinjaman tersebut dikatakan hidup mewah dan mempamerkan gaya hidup selesa di media sosial, namun enggan membayar komitmen yang pernah ditanggung semasa belajar di luar negara.

“Yang menyebabkan darah saya menyirap, rasa marah bercampur simpati ialah kerana pak cik yang merupakan seorang pesara kerajaan ini hanyalah penjamin dan menjadi mangsa kepada peminjam yang culas tidak mahu bertanggungjawab melangsaikan hutang pinjaman pelajaran luar negara.

“Saya pantang dengan peminjam yang culas! Kalau berhutang, tunaikanlah janji. Jangan memangsakan penjamin yang dahulunya kita merayu untuk dibantu. Bila sudah berjaya, hutang tidak mahu bayar, malah penjamin dibiarkan menderita akibat kecurangan kita,” katanya.

Dalam kes ini, Asyraf berkata pihaknya telah mengarahkan agar Mara mengambil tindakan tegas untuk menjejaki dan mengambil tindakan perundangan terhadap peminjam terlebih dahulu.

Tegasnya, jangan sampai yang teraniaya dihukum, sedangkan yang bersalah bebas, meneruskan kehidupannya tanpa sedikitpun rasa bersalah.

“Ingatlah amaran Nabi SAW dalam Hadis Sahih, ‘Segala dosa orang yang mati syahid diampunkan, kecuali hutang’,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN