TANJUNG MALIM – Penulis lirik prolifik, Dr. Hairul Anuar Harun, 50, yang menghasilkan lebih 300 karya termasuk lagu-lagu popular seperti Cindai, Balqis, dan Hati Kama nyanyian Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza berjaya menamatkan pengajian Doktor Falsafah (PhD) Peradaban Melayu sempena Istiadat Konvokesyen ke-27 Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Katanya, beliau pada mulanya hampir berputus asa bagi menyelesaikan pengajian itu kerana proses penyelidikan dan penulisan tesis itu mengambil masa tiga tahun diikuti setahun bagi kelulusan penyelia.
“Sebenarnya, saya hampir putus asa menunggu proses kelulusan tetapi atas beberapa faktor terpaksa berkeras kepada diri sendiri untuk menamatkan apa yang telah dimulakan.
“Alhamdulillah, tahun ini saya berjaya menyelesaikan kesemuanya,” katanya di sini hari ini.
Beliau mendedahkan inspirasi penulisan tesis itu datang daripada minat membaca dan menelaah karya seni sejak usia muda.
“Saya mula menulis pada umur 22 tahun. Sebagai seniman, kita perlu banyak membaca dan menelaah supaya dapat memberi sesuatu yang baru kepada masyarakat dan industri.
“Begitu juga dengan tesis saya yang mengkaji karya M. Nasir, sangat mencabar kerana ini adalah kajian pertama seumpamanya di dunia,” katanya.
Tambah beliau, proses analisis dan penyelidikan dalam penulisan lirik atau karya akademik mempunyai persamaan dari segi keperluan memahami ilmu sebelum menghasilkan karya yang bermutu.
Ujarnya, beliau berterima kasih dengan penyelia tesisnya, Prof. Madya Dr. Mohd. Azam Sulong atau lebih popular dengan nama Azam Dungun dalam dunia muzik yang banyak membantunya sehingga selesai pengajian. – KOSMO! ONLINE














