fbpx
Qi berkata, untuk melahirkan lebih ramai lagi pelakon berkualiti, pengarah harus memberikan peluang kepada mereka untuk terlibat dalam mana-mana projek lakonan.

Kalaupun tak popular, pengarah kena bagi peluang – Qi Razali

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

QI Razali, sosok yang berjaya membawa pulang trofi emas Pelakon Lelaki Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-34 (FFM34) baru-baru ini.

Mungkin jawapan yang diberikan klise, terkejut dan tidak menjangka kemenangannya namun bagi peminat filem Babah, kejayaan tersebut menepati ramalan.

Mendedikasikan trofi tersebut kepada semua bapa di seluruh dunia, aktor berusia 58 tahun itu berharap kemenangan tersebut membuka banyak peluang kepada lebih ramai pelakon untuk membintangi filem.

Katanya, pengarah tempatan perlu lebih berani mengambil pelakon yang bukan dalam kelompok popular bagi membintangi filem arahan mereka.

“Dengan kemenangan ini, saya harap pengarah di luar sana beri peluang kepada anak seni walaupun dia tidak begitu popular berbanding pelakon lain.

“Mungkin dalam dirinya ada seni yang dia boleh berikan untuk hidupkan sesebuah cerita. Jadi, jangan takut untuk bekerjasama dengan pelakon yang jujur, ada usaha, berdisiplin dan jangan terikat dengan nilai populariti semata-mata.

“Sebab yang mempopularkan mereka adalah filem dan naskhah yang mereka lakonkan juga,” katanya kepada HibGlam.

Pemilik nama penuh Qushairi Mohammed Razali itu mengakui  pernah melalui momen diperlekeh segelintir individu dan dilabel sebagai pelakon kurang popular.

“Dahulu ada yang pernah cakap kepada saya agar kekal main muzik sahaja sebab tak yakin saya mampu jadi pelakon.

“Tapi, sebelum melangkah dalam dunia lakonan sekitar 2008, saya belajar dahulu tentang seni lakonan. 

“Saya mungkin tidak lahir daripada institusi seni seperti Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) atau sebagainya tetapi tetapi kesungguhan saya dalam bidang ini yang perlu dinilai terlebih dahulu,” katanya lagi.

Babah

Berkongsi tentang Babah yang turut dinobatkan sebagai Filem Terbaik FFM34, Qi berterima kasih kepada pihak produksi kerana memberi kepercayaan kepadanya memegang peranan sebagai bapa meski realitinya dia belum diberi rezeki mempunyai zuriat.

Untuk tidak menghampakan keputusan produksi, dia nekad mempelajari keperibadian seorang bapa daripada rakan yang sudah memiliki anak.

“Saya sahut cabaran ini pun sebab banyak persoalan dalam diri seperti mengapa ambil saya sebagai babah sedangkan saya bukan seorang ayah pun.

“Tapi kalau nak cakap tentang seni lakonan pun, tak semestinya kita kena ambil seorang lelaki sudah ada anak untuk memainkan watak sebagai ayah. 

“Kalau macam tu, macam mana kita nak cari watak pembunuh? Adakah perlu cari pembunuh sebenar? Boleh dikatakan bahawa filem Babah ini banyak beri perspektif baharu tentang kekeluargaan dalam hidup saya,” ujarnya.

Qi menambah, impak terbesar lain diterimanya adalah respons positif penonton yang mengakui Babah membantu memulihkan hubungan mereka dengan bapa atau anak yang sebelum ini renggang.

“Sewaktu filem itu baru tayang, hampir setiap malam saya akan balas mesej daripada penonton Babah. Ada yang ucap terima kasih dan menangis sebab rindukan bapa mereka sebab lama terpisah.

“Sebagai pelakon, saya bersyukur sebab mempunyai sebuah naskhah yang boleh dibanggakan dan ditunjuk kepada anak cucu nanti.

“Saya tak merendahkan filem lain, cuma sekurang-kurangnya saya ada satu filem begini yang ada nilai kekeluargaan dan mampu menyentuh perasaan setiap individu,” jelasnya yang turut bangga dengan kejayaan Sweet Qismina apabila memenangi kategori Pelakon Wanita Terbaik FFM34.

 



Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI