fbpx
Mohamad Yusoff.

DUN Kedah: Kos pembaikan paip air dasar laut ke Langkawi meningkat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR SETAR – Pembaikan kebocoran paip air dasar laut ke Langkawi yang uzur dilakukan secara berterusan walaupun kos meningkat setiap tahun bagi menyediakan bekalan air berkualiti kepada penduduk dan pelancong pulau itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air dan Alam Sekitar negeri, Datuk Mohamad Yusoff @Munir Zakaria berkata, Syarikat Air Darul Aman (SADA) memperuntukan sebanyak RM1.5 juta untuk 40 kerja pembaikan itu pada 2024 dan RM2 juta pada tahun ini bagi 54 kerja pembaikan.

“Kerja pembaikan paip ini dibuat secara dalaman oleh SADA untuk memastikan bekalan air dapat dihantar ke Langkawi. Kos meningkat kerana semakin banyak kebocoran maklumlah paip sudah berusia 30, 40 tahun.

“Kejayaan tindakan ini, SADA berjaya meningkatkan kualiti dan kuantiti bekalan air dari 26 juta liter sehari kepada 45 juta liter sehari,” katanya ketika sesi pertanyaan mulut pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Beliau menambah, selain itu kerja pembaikan paip dasar laut dari tanah besar ke Langkawi itu juga dalam proses perolehan kontraktor dan dijangka dimuktamadkan pada bulan depan.

“Selain itu usaha lain yang dilakukan untuk meningkatkan bekalan air di Langkawi ialah pembinaan rumah pam pengalak dan tangki sedutan di Kampung Makam Mahsuri  dalam peringkat 80 peratus pembinaan, di Taman Dayang dan Seroja (80 peratus), Kampung Kilim (70 peratus) dan pemasangan paip retikulasi di Kampung Perana Belakang Mahsuri Hardware (100 peratus). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN