fbpx
Pasukan Mercy Malaysia tiba di Filipina.

Taufan Kalmaegi: Mercy Malaysia antara terawal tiba di Filipina

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Pasukan Kecemasan Mercy Malaysia telah digerakkan ke Filipina selepas negara itu dilanda Taufan Kalmaegi baru-baru ini dan menjadi antara yang terawal hadir menawarkan bantuan.

Mercy Malaysia dalam kenyataan memaklumkan, taufan tersebut dengan membawa kelajuan angin mencecah 180 kilometer sejam (km/j) telah menyebabkan kemusnahan besar di beberapa kawasan selain ribuan penduduk terjejas kini amat memerlukan bantuan segera.

“Pasukan Penilaian Pantas (Rapid Assessment Team) Mercy Malaysia telah tiba di Manila dan bergerak ke Wilayah Aurora, antara kawasan yang paling teruk terjejas.

“Pada hari pertama, pasukan tersebut telah bertemu dengan Setiausaha Sulit kepada Datuk Bandar dan Pegawai Pelancongan Majlis Perbandaran Aurora, sebelum menghadiri Mesyuarat Kecemasan Majlis Pengurusan dan Pengurangan Risiko Bencana Wilayah Aurora, dipengerusikan oleh Gabenor Isidro Pimentel Galban,” kata Mercy Malaysia.

Kata organisasi itu, mesyuarat tersebut bertujuan membincangkan penyelarasan tindak balas dan keperluan segera mangsa.

“Pihak berkuasa tempatan memaklumkan bahawa Mercy Malaysia merupakan badan bukan kerajaan pertama tiba di wilayah tersebut, bekerjasama dengan agensi kerajaan bagi memperkukuh usaha bantuan.

“Penilaian awal mendapati bahawa kawasan perkampungan pesisir (barangay) adalah paling teruk terjejas, dengan kesan lebih serius berbanding kawasan pedalaman seperti Tuguegarao di wilayah Cagayan,” jelasn kenyataan itu.

Mercy Malaysia menegaskan komitmen mereka untuk terus menyokong usaha pemulihan dan membantu penduduk Filipina membina semula kehidupan dengan lebih kukuh serta berdaya tahan.

Terdahulu, Taufan Kalmaegi menyebabkan kemusnahan besar di Filipina dan Vietnam, dengan sekurang-kurangnya 188 kematian dilaporkan di Filipina dan lima lagi di Vietnam.

Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr. telah mengisytiharkan darurat nasional selepas ribut tropika itu melanda wilayah tengah seperti Cebu dan Negros, mengakibatkan banjir kilat, tanah runtuh serta gangguan bekalan elektrik kepada lebih 1.6 juta isi rumah, manakala 135 individu masih dilaporkan hilang.

Taufan Kalmaegi kemudiannya membadai Vietnam pada malam Khamis lalu menyebabkan lima kematian iaitu tiga di Dak Lak dan dua di Gia Lai serta mencederakan tujuh orang dan merosakkan lebih 2,800 rumah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI