KEMAMAN – Seekor tapir jantan ditemui mati dengan kecederaan pada bahagian kepala, dipercayai akibat dilanggar kenderaan berat di Jalan Chukai-Ibok, di sini, malam tadi.
Bangkai haiwan dilindungi berkenaan ditemukan pengguna jalan raya pada pukul 10.40 malam.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Loo Kean Seong berkata, kakitangan agensi itu yang dihubungi kemudian bergegas ke lokasi kejadian sebelum menemui bangkai tapir berkenaan yang dianggarkan seberat 250 kilogram (kg).
“Hasil pemeriksaan mendapati haiwan liar tersebut mengalami kecederaan pada bahagian muka dan kepala.
“Kesan calar pada bahagian badan juga ditemui dipercayai akibat dilanggar lori,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Kean Seong berkata, bangkai tapir berkenaan telah diambil bagi tindakan pelupusan.
Beliau berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan tapir berkenaan tersesat dari hutan simpan berhampiran yang terletak kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian.
“Kawasan tersebut memang berisiko dengan kehadiran haiwan liar. Kita pun sudah memasang papan tanda lintasan hidupan liar lebih kurang 200m dari lokasi kejadian,” katanya. – KOSMO! ONLINE














