KUALA LUMPUR – Pelaksanaan rasionalisasi subsidi diesel berjaya menurunkan kadar ketirisan bahan api itu termasuk disebabkan oleh aktiviti penyeludupan.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, perkara itu terbukti apabila data pada tahun lalu menunjukkan transaksi penjualan diesel mencatatkan pengurangan.
Statistik penjualan menunjukkan sebanyak 465 juta liter diesel dijual pada Jun hingga Disember 2024 berbanding 770 juta liter dari Januari hingga Mei tahun lalu.
“Terdapat perbezaan dalam perbandingan jualan diesel dalam tempoh lima bulan sebelum dan selepas. Jualan diesel secara komersial juga meningkat selepas rasionalisasi subsidi.
“Ini bermakna sebelum ini terdapat kegiatan pembelian diesel bersubsidi yang mungkin digunakan bagi tujuan komersial tempatan antaranya mesin dan janakuasa elektrik di tapak pembinaan atau kilang,” katanya.
Beliau menjawab soalan Chong Chieng Jen (PH-Stampin) berhubung jualan diesel susulan rasionalisasi subsidi di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Menjawab soalan asal Chieng Jen, Hui Ying berkata, setakat 31 Oktober lalu, sebanyak 320,000 pemilik kenderaan persendirian, petani, penternak dan pekebun kecil menerima manfaat dengan bayaran berjumlah RM850 juta.
Katanya, mereka menerima manfaat di bawah program Budi Madani Individu dan Budi Madani Agri-Komoditi iaitu bantuan tunai RM200 sebulan atau RM2,400 setahun bagi pemilik kenderaan persendirian, petani dan pekebun kecil. – KOSMO! ONLINE














