PEMAIN beregu campuran profesional negara, Lai Pei Jing kekal positif meskipun masih belum meraih sebarang kejuaraan selepas menjadi naib juara sebanyak tujuh kali musim ini.
Terbaharu, dia yang bergandingan dengan Jimmy Wong sekali lagi terpaksa berpuas hati dengan gelaran naib juara pada Kejohanan Badminton Korea Masters yang berlangsung di Jeonbuk kelmarin.
Pada perlawanan akhir di Pusat Sukan Universiti Wonkwang, beregu No. 37 dunia itu akur dengan kekalahan straight set 22-24, 18-21 kepada beregu tuan rumah, Kim Jae Hyeon-Jeong Na Eun dalam tempoh 54 minit.
Pei Jing berkata, walaupun masih belum ada rezeki untuk bergelar juara, namun dia tetap menyatakan rasa syukur kerana masih mampu berada di podium selain memiliki tahap kesihatan yang cukup baik.
“Tujuh final dan tujuh kali bergelar naib juara, memang ada sesetengah orang yang cuba mengejek dan menyakitkan hati. Bagaimanapun, saya tidak kisah dengan semua itu kerana saya tahu harga diri sendiri.
“Hanya saya yang tahu apa yang dilalui selama ini. Walaupun naib juara menunjukkan bahawa kami tewas tetapi pada masa sama, saya tetap bersyukur kerana masih mampu berdiri dan berjuang di gelanggang,” katanya.
Selain Korea Masters, gandingan itu turut bergelar naib juara pada Cabaran Antarabangsa (IC) Vietnam, Siri Antarabangsa (IS) Phuket, Terbuka St. Denis Reunion, Terbuka Macau, Indonesia Masters I dan Indonesia Masters II.
Pei Jing dan Jimmy akan menggalas cabaran pada Kumamoto Masters di Jepun bermula hari ini dan mereka dijadualkan bertemu pasangan Taiwan, Lu Ming Che-Hung En Tzu di pusingan pertama.
“Terima kasih kepada semua yang sentiasa memberikan sokongan, termasuk keluarga dan rakan-rakan. Kami akan terus bekerja keras dan melakukan yang terbaik dalam setiap kejohanan,” ujar Pei Jing. – KOSMO! ONLINE














