fbpx
PELUANG kerja dan kehidupan selamat di Malaysia menyebabkan puluhan ribu warga asing sanggup menggadai nyawa untuk datang ke negara ini.

Gadai nyawa datang Malaysia, untuk beri keluarga RM2,000 sebulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR SETAR – Puluhan ribu etnik Rohingya sanggup menggadai nyawa meredah lautan ribuan kilometer untuk datang ke Malaysia bagi menyelamatkan diri daripada kekejaman dan kemiskinan akibat pergolakan di wilayah tersebut.

Disebabkan itu, mereka sanggup berhimpit di dalam bot uzur untuk berhijrah ke negara ini yang menjanjikan kehidupan yang lebih selamat.

Mendedahkan perkara itu, Pengerusi Persatuan Rohingya Kedah, Yusof Ali berkata, selain terdesak, sikap tamak sindiket yang mengambil kesempatan atas kesengsaraan pelarian dan peluang pekerjaan turut me­nyumbang kepada kebanjiran warga asing itu di Malaysia.

Katanya, rata-rata mereka tahu mengenai risiko besar termasuk kejadian bot karam tetapi tetap mahu datang ke Malaysia.

“Di sini masih boleh bekerja dan hantar duit yang banyak kepada keluarga. Ramai yang berada di sini bercerita yang indah-indah tentang Malaysia, jadi mereka mahu datang,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Kebanyakan mereka bekerja sebagai buruh dan menerima gaji harian sebanyak RM100.

“Banyak pekerjaan, mereka kerja kontrak, ambil upah buat dan ubah suai rumah. Gaji yang diperoleh akan disimpan. Tiap-tiap bulan mereka hantar wang RM500 hingga RM2,000 kepada keluarga di sana,” katanya.

Ditanya mengenai insiden bot karam di Langkawi yang mengorbankan 13 mangsa setakat semalam, Yusof berkata, pihaknya sudah kerap memberikan peri­ngatan mengenainya, namun ia ibarat masuk telinga kanan, keluar telinga kiri.

“Sudah ada tempat tinggal dan makan minum di sana, tapi mahu tempah maut juga. Ini bukan salah Malaysia atau Thailand tetapi salah mereka sendiri. Sudah banyak (kejadian) bot karam dan hilang, nyawa pun hilang.

“Kita sudah pesan banyak kali jangan masuk (Malaysia), tetapi mereka tetap degil sengaja tempah maut di lautan. Mereka (sindiket) bukan peduli pun, bot kecil atau besar sumbat sahaja. Yang penting mereka dapat duit. Kalau seorang perlu bayar RM10,000, jika dua orang dapat RM20,000.

Kanak-kanak pula dikenakan bayaran RM5,000 kecuali bayi.

“Sindiket ini tidak peduli soal keselamatan sama ada hidup atau mati. Pelarian ini ibarat se­perti lombong emas sindiket. Ada yang sanggup membawa isteri dan anak ke Malaysia.

“Kebanyakan mereka dari Kem Pelarian di Bangladesh yang sudah dijaga dengan baik oleh UNHCR (Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk Pelarian).

“Masuk Malaysia pun susah sebab ramai belum dapat dokumen dan kerja, malah ramai yang ditahan, itu hanya menyusahkan kerajaan Malaysia,” ujarnya.

Yusof mendakwa, pihaknya percaya sindiket pemerdagangan manusia mempunyai tali barut dalam kalangan warga asing di negara ini.

Beliau tidak menolak kemungkinan warga asing tersebut belayar dari Bangladesh menaiki kapal sehingga ke perairan sempadan Malaysia-Thailand sebelum dipindahkan ke dalam bot kecil untuk dibawa ke Malaysia melalui perairan Langkawi.

“Dari Bangladesh, sindiket guna kapal besar yang memuatkan 300 hingga 400 orang dan apabila tiba di sempadan, tekong sudah menanti untuk membawa mereka menaiki bot kecil seperti bot nelayan.

“Keadaan ini sangat bahaya kalau terlebih muatan, kami sudah 1,000 pesan, mereka degil,” katanya.

Kosmo! semalam melaporkan sebuah bot membawa 100 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar dan Bangladesh yang dalam perjalanan ke negara ini karam menyebabkan sekurang-kurangnya seorang etnik Rohingya lemas.

Dalam kejadian berdekatan Pulau Tarutao itu, seramai 12 lagi migran diselamatkan kapal dagang, kapal layar dan bot nelayan tempatan selepas dihanyutkan ke perairan negara ini.

Mangsa yang selamat memaklumkan mereka membayar RM13,500 hingga RM15,000 hasil jualan rumah, tanah dan haiwan ternakan kepada sindiket secara ansuran semata-mata untuk datang ke Malaysia.

Ketika ditemui, mangsa dilaporkan berada dalam keadaan lemah dan kesejukan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN