fbpx
GAMBAR pada 20 Ogos lalu menunjukkan periuk api yang dikeluarkan oleh pasukan tentera Thailand dari kawasan pertikaian di sempadan Thai-Kemboja. – AFP

Thailand gantung perjanjian damai dengan Kemboja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BANGKOK – Thailand hari ini menggantung pelaksanaan perjanjian damai dengan jirannya, Kemboja selepas letupan periuk api mencederakan dua askar Thai berhampiran sempadan.

Perjanjian damai diselia oleh Presiden Donald Trump itu bertujuan menamatkan permusuhan kekal berikutan pertempuran sempadan pada Julai lalu yang membunuh sekurang-kurangnya 43 orang dan menyebabkan lebih 300,000 orang awam hilang tempat tinggal di kedua-dua belah pihak.

Tentera Diraja Thailand berkata dalam satu kenyataan bahawa letupan periuk api di wilayah Sisaket menyebabkan seorang askarnya mengalami kecederaan parah di kaki, manakala tekanan daripada letupan menyebabkan seorang lagi mengalami sakit dada.

Jurucakap kerajaan Thai Siripong Angkasakulkiat berkata, Bangkok akan menghentikan ‘susulan selepas pengisytiharan bersama’, bermaksud perjanjian dengan Kemboja yang ditandatangani di Kuala Lumpur pada akhir Oktober lalu, beberapa bulan selepas Bangkok dan Phnom Penh bersetuju mengadakan gencatan senjata.

Langkah seterusnya yang dirancang sebagai sebahagian daripada pelaksanaan perjanjian damai itu termasuk pembebasan 18 askar Kemboja yang ditahan di Thailand.

“Kami fikir ancaman keselamatan telah reda, tetapi sebenarnya tidak,” kata Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul pada sidang akhbar.

Pihak berkuasa Kemboja tidak segera mengulas insiden itu, tetapi pada masa lalu, Phnom Penh menafikan tuduhan Bangkok bahawa pihaknya menanam periuk api baharu di sepanjang kawasan sempadan.

Thailand dan Kemboja bersetuju mengadakan gencatan senjata pada akhir Julai lalu selepas campur tangan oleh Trump, diplomat China dan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku pengerusi blok Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN).

Pengisytiharan bersama baharu yang ditandatangani pada Oktober lalu menyatakan, kedua-dua pihak akan menganjurkan usaha pembersihan periuk api di sepanjang sempadan masing-masing, mengundurkan senjata berat dan membenarkan akses kepada pasukan pemantau gencatan senjata anjuran ASEAN.

Thailand juga berjanji untuk membebaskan 18 askar Kemboja yang telah ditahan sejak beberapa bulan yang lalu.

Gencatan senjata Thai-Kemboja secara amnya kekal sejak 29 Julai lalu. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN