PETALING JAYA – Tempoh reman pengarah dan penyanyi kontroversi, Wee Meng Chee atau Namewee, dilanjutkan selama tiga hari mulai esok hingga 13 November 2025.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, lanjutan reman itu bagi membantu siasatan kes kematian seorang pempengaruh wanita warga Taiwan di sebuah hotel di Jalan Conlay pada 22 Oktober lalu.
“Untuk makluman, permohonan melanjutkan tempoh reman Namewee telah dibenarkan selama tiga hari mulai 11 hingga 13 November 2025,” katanya dalam kenyataan ringkas hari ini.
Terdahulu, polis memaklumkan siasatan menyeluruh sedang dijalankan dari pelbagai sudut, termasuk kemungkinan menahan individu terakhir yang dilaporkan bersama mangsa sebelum wanita itu ditemui maut.
Namewee dikatakan individu terakhir bersama pempengaruh tersebut sebelum kematiannya. – KOSMO! ONLINE














