PETALING JAYA – “Kenyataan saya berasas hipotisis penyelidikan yang dibangunkan hasil kajian sejak saya menamatkan pengajian PHD pada 2005″.
Demikian tegas Profesor Dr. Solehah Yaacob, ahli akademik dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia kini menjadi tumpuan susulan kenyataannya mengenai hubungan tamadun Rom dan dunia Melayu.
Menurut beliau, kenyataan yang tular sejak beberapa hari lalu di media sosial telah disalah tafsir dan diputar belit oleh segelintir pihak yang tidak memahami konteks akademik sebenar syarahannya di Masjid Gombak Setia pada 31 Disember 2022.
“Saya bukan membuat dakwaan kosong. Kajian saya berpandukan manuskrip Arab klasik dan sumber sejarah Barat. Ini hasil penyelidikan lebih 20 tahun,” katanya dalam satu kenyataan.
Solehah menjelaskan bahawa berdasarkan penemuan beliau, bangsa Melayu ialah pelayar dan pembina kapal paling awal dalam sejarah manusia, jauh sebelum bangsa Rom menguasai pelayaran di Mediterranean.
Katanya lagi, Kerajaan Rom hanya mula berlayar secara besar-besaran selepas penaklukan Mesir pada 31 sebelum masihi (SM), manakala bangsa Melayu sudah pun memiliki kepakaran membina kapal laut dalam dan berdagang merentasi samudera sejak ribuan tahun sebelumnya.
“Rom bangsa benua, Melayu bangsa laut. Jadi tidak mustahil teknologi pelayaran mereka berkembang hasil hubungan dengan dunia Melayu melalui laluan perdagangan purba,” jelasnya.
Tambah beliau, hipotesis itu disokong oleh pandangan ahli teologi British Thomas Brightwell (1840) serta catatan ilmuwan Islam seperti al-Kindi dan al-Biruni yang menyebut tentang kawasan al-Qal‘a dipercayai Kedah Tua sebagai pusat pembuatan besi dan senjata yang dikenali bangsa Rom.
Solehah turut menjelaskan bahawa beliau bukan menolak peranan tamadun lain, tetapi mahu mengembalikan hak sejarah bangsa Melayu yang selama ini jarang disebut dalam naratif global.
“Tamadun Melayu adalah pelopor maritim dunia, bukan sekadar pelayar Nusantara,” katanya.
Dalam masa sama, beliau menafi keras dakwaan bahawa dirinya pernah menyebut Sayyidatina Siti Khadijah RA berasal dari dunia Melayu, sambil menegaskan video tular di media sosial telah disunting dan diambil di luar konteks. Beliau sudah membuat laporan polis berhubung perkara itu dan menuntut semua pihak berhenti memfitnah.
“Saya tidak gentar dengan kecaman. Dalam Islam dan akademik, kita diajar mencari kebenaran. Kajian saya terbuka untuk dibahas, bukan dihina. Sejarah Melayu perlu dikaji semula dengan pandangan yang adil,” katanya.- KOSMO! ONLINE.














